Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Keprihatinan jiran menyelamatkan nyawa seorang ibu dan empat anak ketika Kampung Laut Batu 10, Skudai di sini dilanda banjir kilat semalam.

Dalam kejadian banjir kilat kira-kira jam 4 petang itu, Hairul Badariah Zakariah, 39, panik apabila air Sungai Skudai yang terletak di belakang rumahnya melimpah selepas hujan lebih dua jam menyebabkan banjir mencecah hampir dua meter.

Katanya, beliau tidak menyangka air Sungai Skudai melimpah dengan sekelip mata ditambah dengan arusnya yang laju.

"Ketika itu saya baru selesai memasak dengan keadaan cuaca baru reda hujan lebat. Saya tidak sangka air sungai akan melimpah laju sedangkan ia sudah dibersih dan didalamkan beberapa minggu sebelum ini.

"Saya panik apabila melihat air masuk ke dalam rumah setinggi kira-kira 0.5 meter. Dalam keadaan kelam kabut menyelamatkan dokumen penting, anak bongsu yang berusia empat bulan yang tidur di atas katil juga mula terapung.

"Saya kemudian mengambilnya serta tiga lagi anak untuk segera naik ke atas loteng bumbung yang dibina khas suami.

"Kami empat beranak ketakutan kerana air naik hampir ke paras bumbung, namun Alhamdulillah jiran kami yang prihatin akhirnya menyedari saya dan empat anak masih terperangkap di rumah sebelum menghubungi pihak berkuasa bagi menyelamatkan kami," katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewanraya Kampung Melayu Batu 10, Skudai, hari ini.

Dua PPS dibuka dengan 76 mangsa daripada 25 keluarga dipindahkan ke PPS berkenaan dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara, berikutan banjir kilat semalam.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, Aminah Ali, 79, berkata banjir kilat kali ini adalah yang paling teruk yang pernah melanda Kampung Laut Batu 10, Skudai.

Katanya, walaupun tahun lalu sebanyak lapan kali banjir kilat melanda kampung berkenaan dengan penduduk terpaksa berpindah ke PPS, namun air naik hanya kurang 0.5 meter.

"Namun banjir kilat semalam naik lebih satu meter dan ia paling teruk setakat ini. Kebanyakan perabot memang tidak sempat diselamatkan kerana air banjir naik terlalu pantas.

"Ia berikutan hujan lebat yang bertembung dengan air pasang serta pintu air turut dibuka semalam. Jika pintu air di buka air sungai di sini memang akan laju.

"Kami risau banjir kilat akan melanda semula kerana cuaca pun masih mendung dan gelap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 12:54 PM
MANGSA (tengah) memegang anaknya yang berumur 4 bulan sambil diperhatikan suami dan anak-anaknya di Dewan Raya Kg Melayu Batu 10, Skudai, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MANGSA (tengah) memegang anaknya yang berumur 4 bulan sambil diperhatikan suami dan anak-anaknya di Dewan Raya Kg Melayu Batu 10, Skudai, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan