MUHAMMAD Ridzuan (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen, hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
MUHAMMAD Ridzuan (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen, hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol remaja perempuan berusia 14 tahun.

Tertuduh, Muhammad Ridzuan Mohamad, 20, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman sebelum mohon dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 14 tahun di sebuah bilik chalet di daerah ini, jam 11 malam pada 16 November lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 23 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu mangsa, saksi serta ahli keluarga mangsa.

Selain itu, tertuduh perlu melaporkan diri pada 1 dan 15 hari bulan setiap bulan di balai polis berhampiran sepanjang prosiding.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 5:33 PM