Abdul Hamid Bador.
Abdul Hamid Bador.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan jumlah pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) di tempat awam dipatuhi berikutan peningkatan kes wabak Covid-19.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, polis mendapati masih ada masyarakat yang leka dan kurang mengambil berat mengenai aspek pematuhan SOP bagi membendung penularan wabak itu.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas individu-individu yang didapati mengingkari peraturan berkenaan.

"Mengambil kira statistik kes baharu positif Covid-19 yang tinggi, PDRM mengingatkan seluruh masyarakat agar sentiasa mengamalkan disiplin kendiri dan mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Sempena cuti hujung tahun dan musim perayaan, ramai yang mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman, berkunjung ke tempat-tempat peranginan serta mengadakan majlis keramaian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Hamid berkata, tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti sedemikian akan mewujudkan situasi orang ramai berkumpul dalam bilangan yang ramai.

Beliau mengingatkan masyarakat agar mengamalkan pembudayaan norma baharu dalam komuniti serta mengelakkan '3S' (sesak, sempit dan sembang dekat) dalam aktiviti harian bagi membendung penularan wabak ini.

"Bersama-sama kita berganding bahu untuk memutuskan rantaian dan melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19, di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 7:44 PM