Ahmad Hasbi

Seremban: Pengumuman kebenaran aktiviti rentas negeri yang bermula hari ini disambut baik Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, mewakili kerajaan negeri.

Beliau mengalu-alukan kepulangan perantau ke negeri beradat itu, namun dalam masa sama mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Insya-Allah, aktiviti rentas negeri dibenarkan bermula hari ini. Mewakili kerajaan Negeri Sembilan, saya mengucapkan selamat pulang buat perantau.

"Saya pasti ramai yang terpaksa menanggung rindu akibat halangan berkenaan (Perintah Kawalan Pergerakan). Walaupun begitu, larangan rentas negeri dilaksanakan demi kebaikan semua pihak dalam usaha membendung penularan Covid-19.

"Namun, saya ingin berpesan kepada semua supaya sentiasa berhati-hati walaupun liputan vaksin sudah mencecah 90 peratus. Teruskan mematuhi SOP serta mengamalkan amalan kendiri dalam keghairahan merentas negeri.

Foto hiasan
Foto hiasan

"Insya-Allah, semoga rakyat Negeri Sembilan amnya dan Malaysia khususnya terus terhindar daripada wabak merbahaya ini," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, media melaporkan kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada Keluarga Malaysia yang sudah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri bermula hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata pergerakan itu boleh dilakukan tanpa memerlukan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Keluarga Malaysia dibenarkan untuk melakukan aktiviti pelancongan ke mana-mana negeri, selain bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang sudah lama berpisah dan sebagainya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 8:57 AM