ABDUL Hamid. FOTO Arkib NSTP
ABDUL Hamid. FOTO Arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


ANGGOTA polis yang bertugas di sekatan jalan raya akan diserapkan ke pasukan pemantau bagi memantau pengamalan penjarakan sosial dalam masyarakat bermula Isnin ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, mereka yang gagal mengamalkan penjarakan sosial dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) akan ditahan.

"Dengan arahan terbaru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengubah strategi iaitu akan melakukan pemantauan dan tidak lagi memfokuskan kepada pergerakan di jalan raya.

"Polis akan fokus kepada penjarakan sosial kepada orang ramai yang tidak mematuhi di tempat-tempat awam," katanya ketika ditemui selepas berbuka puasa bersama anggota sekatan jalan raya di Selayang, hari ini.

Terdahulu, Abdul Hamid membuat lawatan secara mengejut di sekatan jalan raya di Jalan Rawang-Kuala Lumpur bagi meninjau penugasan semasa menjelang waktu berbuka puasa.

Abdul Hamid turut meluangkan masa hampir sejam berbuka puasa bersama pegawai dan anggota PDRM serta ATM di lokasi berkenaan diringi Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe dan Panglima 11 Briged, Brigedier Jeneral Norsham Md Tap.

Abdul Hamid berkata, beberapa lokasi sekatan jalan raya turut diubah ke lokasi-lokasi lain yang selama ini menjadi laluan kegiatan penyeludupan membawa masuk pendatang tanpa izin (PATI) dan aktiviti penyeludupan.

"Selaras dengan arahan terbaru kerajaan ini juga kita (PDRM) dan ATM akan meningkatkan kawalan ke laluan utama yang digunakan oleh tekong-tekong (pengendali penyeludupan manusia) untuk membawa masuk PATI.

"Laluan berkenaan akan diperkasakan dengan sekatan jalan raya baru serta dikawal ketat bagi memastikan tujuan utama kita semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini untuk mengekang penyebaran dan penularan wabak Covid- 19,"katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 10:48 PM