AIR sungai berwarna gelap serta berbau didakwa dicemari najis babi di Sungai Kereh, Kampung Tok Bedu di sini. FOTO Danial Saad
AIR sungai berwarna gelap serta berbau didakwa dicemari najis babi di Sungai Kereh, Kampung Tok Bedu di sini. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) akan mengusulkan operasi penternakan ladang babi yang menyebabkan pencemaran Sungai Kereh, dihentikan sehingga penternak bekerjasama untuk melaksanakan sistem pelepasan sifar (zero discharged).

Setiausaha Politik kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, beliau berpendapat pemberhentian operasi itu perlu dilakukan memandangkan penduduk sekitar kawasan berkenaan sudah menderita ekoran masalah terbabit sejak 40 tahun lalu.

Beliau berkata, penduduk sudah terlalu lama mengharungi kemelut itu disamping terpaksa berdepan dengan masalah kesihatan akibat pencemaran bau termasuk hasil pertanian merosot.

"Oleh itu, cara terbaik dan segera boleh diambil adalah menghentikan operasi penternakan ini sehingga pengusaha memberi kerjasama untuk melakukan sistem pelepasan sifar buangan dan tidak lepaskan najis secara langsung ke dalam sungai.

"Perkara ini, saya akan maklumkan kepada Menteri (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) supaya dia dapat menulis memorandum merentasi kementerian bagi menyampaikan cadangan supaya penternakan ini dihentikan sementara sehingga ada penyelesaian," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan dan melihat pencemaran di Sungai Kereh, Kampung Tok Bedu, Tasek Gelugor, hari ini.

Difahamkan, kira-kira 1,000 penduduk di beberapa kampung berhampiran terjejas berikutan masalah menghantui mereka, bahkan sudah lali setiap kali mengajukan permasalahan kepada pihak berkaitan.

Kandang ternakan babi yang terletak di Kampung Selamat itu dipercayai menyebabkan pencemaran sungai serius antaranya di Sungai Kereh, Sungai Korok, Sungai Kreh Mati, Sungai Kecil Pokok Machang, Sungai Lubuk Meriam dan Sungai Lubuk Mariam Dalam.

Dalam pada itu, Mohd Zuhdi berkata, pihaknya mengambil maklum penderitaan dialami penduduk dan petani akibat pencemaran terbabit selepas meneliti beberapa memorandum dihantar kepada KASA.

"Di sekitar kawasan ini dikatakan terdapat 74 kandang membabitkan 100,000 babi diternak dan tiada sistem rawatan kumbahan sistematik menyebabkan ia disalurkan secara langsung ke dalam Sungai Kereh.

"Kita lihat sendiri daripada segi bau dan warna (air sungai) yang menjejaskan kesihatan serta pertanian di kawasan hilir walaupun terdapat usaha memindahkan kunci air untuk salurkan air bersih kepada sawah padi bagi mengatasi masalah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 6:53 PM