AIR sungai berwarna gelap serta berbau didakwa dicemari najis babi di Sungai Kereh, Kampung Tok Bedu. FOTO Danial Saad
AIR sungai berwarna gelap serta berbau didakwa dicemari najis babi di Sungai Kereh, Kampung Tok Bedu. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


KERAJAAN menubuhkan Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Khas bagi menangani masalah kira-kira 1,000 penduduk di beberapa kampung dekat Tasek Gelugor yang menderita selama 40 tahun berikutan pencemaran bau akibat pelepasan najis babi di Sungai Kereh.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, masalah itu akan dibincangkan secara serius dalam jawatan kuasa berkenaan yang ditubuhkan di peringkat negeri.

Beliau berkata, ketika ini Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang tidak dapat mengambil tindakan berikutan penguatkuasaan pelepasan sisa pencemaran daripada punca yang terpakai di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 di luar bidang kuasa jabatan itu.

"Bagaimanapun, JPS Pulau Pinang mengambil beberapa inisiatif untuk memulihara dan meningkatkan kualiti air sungai.

"Isu ini juga akan dibincangkan secara serius dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Khas bagi menangani isu pencemaran sungai dan laut yang ditubuhkan di peringkat negeri," katanya.

Beliau memberi reaksi itu dalam laman sosial Facebook miliknya hari ini.

Baru-baru ini, Harian Metro melaporkan kira-kira 1,000 penduduk di beberapa kampung berhampiran di Sungai Kereh terjejas akibat terpaksa menghidu bau busuk najis babi dari ladang ternakan di situ.

Masalah yang berlarutan hampir 40 tahun itu masih tidak dapat diselesaikan walaupun kerajaan Pulau Pinang sudah memperkenalkan Enakmen Penternakan Babi 2016.

Memburukkan keadaan, kawasan itu juga sering terjejas dengan banjir mengakibatkan kesan besar kepada Kampung Pokok Machang, Lubuk Meriam, Tonsun, Lahar Yooi, Sungai Korok dan Seberang Tok Dol.

Difahamkan, ada 74 kandang babi membabitkan 100,000 haiwan itu di kawasan penternakan berkenaan.

Kerajaan negeri bakal menguatkuasakan Enakmen Penternakan Babi pada 1 Januari 2022.

Sebaik ia dikuatkuasakan penternak babi yang tidak mengubah sistem penternakan dari terbuka kepada tertutup bakal dikenakan tindakan.

Berita berkaitan

40 tahun hidu bau najis babi

Cadang henti sementara penternakan babi di Kampung Selamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 3:43 PM