Zuliaty Zulkiffli

Bukit Kayu Hitam: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) menahan lori tiga tan membawa muatan barangan plastik dan tilam yang cuba menyeludup 4,500 karton rokok putih.

Komander Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintendan Mohd Khairi Abdullah berkata, pihaknya menahan lori itu di Kilometer 177.3 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Butterworth, Pulau Pinang, 10.30 malam tadi.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehi, lori dipandu lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai membawa muatan rokok putih dari Kuala Lumpur menuju ke kawasan utara.

"Pada mulanya, pemandu lori itu cuba memecut kenderaan yang dipandunya namun berjaya dikejar anggota risik/operasi AKSEM Kedah.

"Berikutan itu, kita menahan lori terbabit dan melakukan pemeriksaan sebelum menemui 90 kotak yang mengandungi 4,500 karton rokok putih yang tidak dibayar cukai kastam," katanya pada sidang media di Kompleks AKSEM Bukit Kayu Hitam, di sini, hari ini.

Mohd Khairi berkata, hasil siasatan mendapati, pihaknya percaya sebahagian daripada rokok berkenaan sudah diturunkan di Pulau Pinang.

Beliau berkata, baki yang tinggal iaitu 90 kotak itu dipercayai untuk dihantar ke sekitar Bandar Baharu, Kulim dan kawasan di negeri ini.

"Lelaki itu mengaku dia hanya bekerja dengan syarikat berkenaan dan hanya menjalankan tugas untuk menghantar bekalan barangan dalam lori berkenaan.

"Namun siasatan masih dijalankan dan kita akan serahkan lelaki itu bersama rokok yang dirampas kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut," katanya.

Mohd Khairi berkata, keseluruhan rokok yang dirampas mengandungi 900,000 batang dan nilai keseluruhannya adalah RM135,000 manakala nilai cukai rokok berkenaan adalah RM607,500 dan lori yang disita bernilai RM60,000.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 12:25 PM
MOHD Khairi (kanan) menunjukkan sebahagian rokok putih yang ditemui dalam lori. FOTO Zuliaty Zulkiffli
MOHD Khairi (kanan) menunjukkan sebahagian rokok putih yang ditemui dalam lori. FOTO Zuliaty Zulkiffli