Mohd Khairi (kiri) bersama anggotanya menahan lori yang membawa ukiran patung tembaga pada sekatan jalan raya di Kilometer 1.3 Lebuhraya PLUS. FOTO Shahrul Hafiz Zam
Mohd Khairi (kiri) bersama anggotanya menahan lori yang membawa ukiran patung tembaga pada sekatan jalan raya di Kilometer 1.3 Lebuhraya PLUS. FOTO Shahrul Hafiz Zam
Muhaamad Hafis Nawawi


CUBAAN seorang lelaki berusia 71 tahun membawa keluar ukiran patung diperbuat daripada tembaga yang dibeli dari Thailand ke negara ini tanpa memiliki dokumen kastam mengundang padah apabila ditahan anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Bukit Kayu Hitam, semalam.

Dalam kejadian 3.45 petang itu, anggota AKSEM yang sedang bertugas di Kilometer 1.3 Lebuhraya PLUS arah utara menahan sebuah pikap dipandu lelaki warga Thailand membawa ukiran patung itu.

Komander AKSEM Bukit Kayu Hitam Asisten Superintendan Mohd Khairi Abdullah berkata, pemeriksaan lanjut mendapati patung itu tidak memiliki dokumen kebenaran daripada kastam bagi membenarkan ia dibawa masuk.

“Ketika pemeriksaan itu seorang lelaki tempatan datang dan memaklumkan ukiran patung itu adalah miliknya yang dibeli di negara jiran.

“Tindakannya yang membeli ukiran patung itu tanpa mengisi dokumen kastam satu perbuatan salah kerana mengelak membayar cukai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Khairi berkata, mereka kemudian ditahan dan dibawa ke pejabat AKSEM Bukit Kayu Hitam sebelum diserahkan kepada pihak kastam untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang-barang belum lulus kastam.

“Lelaki terbabit kemudian dikompaun RM508 dan denda RM1,000 dengan jumlah keseluruhan dibayarnya RM1,508,”€ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 12:59 PM