Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kebenaran kepada tiga Ahli Parlimen yang menjalani Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) hadir ke Dewan Rakyat, berdasarkan hak mengundi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Parlimen.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu tidak menyalahi prosedur operasi standard (SOP) apatah lagi mereka hadir dengan pematuhan SOP ketat termasuk mesti memakai pakaian perlindungan diri (PPE) sepenuhnya.

"Kita benarkan dalam kes tertentu mereka yang dikuarantin ini diberikan hak contohnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kita benarkan pengundi datang mengundi di tempat khas tanpa bercampur dengan orang lain.

"Begitu juga ketika negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), apabila timbul kes kematian seperti ibu atau bapa ada yang mohon mengiringi ke kubur kita benarkan tetapi dengan syarat pakai PPE sepenuhnya.

"Jadi kes sekarang (tiga ahli parlimen), kita beri kelonggaran tetapi mereka diasingkan dalam bilik khas ketika menunggu, tidak dibenarkan duduk di kerusi mereka dan hanya masuk apabila waktu mengundi dengan pemakaian penuh PPE," katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kebenaran diberikan kepada Ahli Parlimen Tenggara Datuk Seri Dr Adham Baba, Ahli Parlimen Tapah Datuk Seri M Saravanan dan Ahli Parlimen Batu P Prabakaran yang dikenakan HSO hadir mengundi di Dewan Rakyat.

Ismail Sabri berkata, pihaknya mengambil tindakan itu kerana hak mengundi termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan apatah lagi peraturan mengundi di Parlimen perlu hadir dalam Parlimen.

"Jadi kerajaan tidak melakukan kesalahan SOP," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 6:21 PM