Oleh Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kehadiran tiga ahli parlimen yang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) selepas mempunyai kontak dengan pesakit positif selepas menerima kelulusan secara bertulis daripada Ketua Pengarah Kesihatan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun ketika menjelaskan mengenai isu yang menyebabkan sidang dewan kecoh semalam berkata, tiga ahli parlimen itu ialah Ahli Parlimen Tenggara yang juga Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Ahli Parlimen Tapah Datuk Seri M Saravanan (Menteri Sumber Manusia) dan Ahli Parlimen Batu P Prabakaran (PH-Batu).

Ketiga-tiganya meminta kebenaran secara bertulis daripada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut Azhar Azizan, Dr Noor Hisham meluluskan permohonan pelepasan masa pengundian untuk ketiga-tiga ahli parlimen itu bagi tempoh 14 hingga 17 Disember dalam surat jawapan bertarikh 14 Disember.

"Kebenaran diberikan secara bertulis, saya turut menerima salinan kebenaran itu," katanya menjawab usul dikemukakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) berhubung kebenaran kehadiran tiga ahli parlimen yang menjalani HSO ke Dewan Rakyat dan terbabit dalam sesi pengundian belah bahagian, semalam.

Menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai pengundian oleh tiga ahli parlimen tidak dijalankan di kerusi masing-masing, Azhar menyatakan, beliau menetapkan ketiga-tiga ahli parlimen itu duduk di galeri awam, Dewan Rakyat.

"Keputusan ini adalah berdasarkan Peraturan Mesyuarat 2 (2) maka mereka boleh mengundi dari tempat itu," katanya.

Mengenai pengesahan pengenalan diri tiga ahli parlimen untuk pengundian seperti dikemukakan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai), Azhar Azizan menjelaskan, kehadiran ketiga-tiga ahli parlimen itu dicatat Bentara dan mereka diiringi Bentara yang sama ke galeri awam untuk pengundian.

"Pengenalan diri juga disemak Bentara semasa ahli parlimen itu bergerak ke Dewan Rakyat untuk proses pengundian dan sekali lagi disemak ketika mereka mahu mengundi," katanya.

Azhar Azizan menjelaskan, pengecualian itu bukan satu perkara yang baharu sebaliknya turut diberikan kepada orang awam termasuk pesakit dalam pemantauan (PUS) bagi menghadiri upacara pengebumian dan melawat orang sakit di hospital bagi kes kecemasan.

"Ketiga-tiga ahli parlimen berkenaan ditempatkan di satu bilik khas di bangunan Parlimen," katanya.

Azhar Azizan turut menjelaskan memberi kebenaran pemakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada ketiga-tiga ahli parlimen berkenaan berdasarkan peraturan 41(F) dan mengambil kira situasi kesihatan dan keselamatan semua.

HSO untuk Dr Adham tamat semalam, dan boleh hadir ke Parlimen hari ini manakala Prabakaran tamat hari ini dan boleh hadir ke Dewan Rakyat esok.

HSO bagi Saravanan pula tamat Khamis ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 1:02 PM