AZHAR Azizan Harun. FOTO arkib NSTP
AZHAR Azizan Harun. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen yang dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) akan dibawa menggunakan ambulans dengan mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) bagi mengikuti proses pengundian di Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata, kelonggaran itu diberikan selepas mendapat kelulusan dan pertimbangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mereka akan dibawa menggunakan ambulans dengan mengenakan PPE dan ditempatkan di bilik khas.

"PPE baharu perlu dipakai sekiranya mereka ingin masuk ke dewan, tetapi ditempatkan di galeri awam bagi mengikuti proses pengundian.

"Ketika pengambilan undi, penghitung akan diarahkan untuk memakai 'visor' (pelindung muka), manakala mereka (Ahli Parlimen yang dikenakan HSO) akan diminta segera tinggalkan galeri awam selepas selesai mengundi," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum itu Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 41 mengenai kelonggaran memakai PPE di dalam Dewan Rakyat membabitkan segelintir Ahli Parlimen yang dikenakan arahan HSO.

Beliau mempersoalkan keperluan dan asas untuk mengubah prosedur operasi standard (SOP), semata-mata bagi menjamin kemenangan kerajaan ketika proses pengundian Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa yang kini berbaki lima lagi kementerian.

"Kalau tak yakin menang belanjawan, datang bincang dengan kami untuk dapatkan sokongan, bukan ubah suai SOP," katanya.

Azhar berkata, tiada sebarang pengubahsuaian SOP dilakukan sebaliknya sudah ditetapkan KKM bagi memastikan institusi Parlimen bebas daripada sebarang jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, kelonggaran sebelum ini diberikan kepada Ahli Parlimen untuk masuk ke dalam Dewan Rakyat ketika proses pengundian.

"Kita hadkan kehadiran Ahli Parlimen dalam dewan untuk datang berdebat, tetapi semua dibenarkan masuk ketika proses pengundian.

"Yang lain, itu bukan keputusan saya, sebaliknya kena minta kebenaran (Ketua Pengarah KKM) Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

"Kena ikut SOP ditetapkan KP KKM, bukan (ditetapkan) saya," katanya.

Ketika ini, antara Ahli Parlimen yang menjalani HSO ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Dr Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara sebelum ini mengesahkan menerima arahan untuk menjalani HSO hingga 18 Disember selepas menjadi kontak rapat seorang petugas media swasta yang disahkan positif Covid-19.

Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah pula diarahkan untuk menjalani arahan sama selepas menjadi kontak rapat kepada seorang pegawai kanan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) yang positif jangkitan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 12:57 PM