GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Azizah Mokhtar


Putrajaya: Kabinet meluluskan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata persetujuan itu dicapai selepas beliau membentangkan cadangan itu dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

"Hari ini saya bentangkan dan Kabinet memberikan lampu hijau sepenuhnya.

"Saya akan teruskan dengan proses berikutnya seperti sesi penerangan termasuk kepada rakan media selain meneruskan sesi libat urus bersama tokoh individu berkepakaran, badan masyarakat sivil serta ahli Parlimen yang kemudiannya akan mengundi," katanya dalam sidang media di KDN di sini, hari ini.

Pada Disember tahun lalu, media melaporkan Jabatan Peguam Negara sedang merangka draf cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewargangeraan anak yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita rakyat tempatan dengan lelaki warga asing.

Draf itu dibuat bagi meminda Perkara 14(1)(b) untuk memasukkan perkataan ibu dengan tujuan membolehkan kewarganegaraan anak diperoleh secara kuat kuasa undang-undang.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) amat berharap cadangan pindaan perlembagaan itu dapat dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.

"Dari segi Parlimen, kita kena 'que' (tunggu giliran) sebab banyak pindaan-pindaan kementerian lain juga, jadi kita kena daftar dan tunggu tarikh dari setiausaha (Dewan Rakyat).

"Itu harapan kita semua (bentang tahun ini)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 7:21 PM