SULTAN Ibrahim Iskandar. Foto Ihsan Royal Press Office (RPO)
SULTAN Ibrahim Iskandar. Foto Ihsan Royal Press Office (RPO)
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menjadi raja pertama dalam kalangan Raja-Raja Melayu, mempunyai 1 juta pengikut di laman Facebook (FB) rasmi baginda.

Menurut kenyataan media dikeluarkan Royal Press Office (RPO) jumlah pengikut mencecah 1 juta itu dicapai kira-kira jam 8.37 pagi ini.

Laman FB rasmi Baginda, "Sultan Ibrahim Sultan Iskandar" turut mempunyai 898,159 'Likes' pada waktu penulisan.

"Daripada 1 juta pengikut itu, 321,118 daripadanya adalah dari Johor, diikuti Kuala Lumpur (103,745) dan Singapura (46,585).

"Laman rasmi FB Sultan Johor, mula beroperasi sejak 31 Mei 2015, turut menunjukkan majoriti pengikut baginda adalah golongan lelaki (59 peratus) yang kebanyakannya dalam kategori umur 25-34 tahun (40 peratus).

"Ia memaparkan pelbagai pengisian yang berguna, di samping maklumat tentang aktiviti serta program baginda yang bertujuan memaklumkan dan mendidik rakyat akan peranan Tuanku sebagai Sultan Johor," menurut kenyataan berkenaan.

Sementara itu, Sultan Ibrahim dalam titah dimuat naik di laman FB rasmi baginda berterima kasih kepada pengikutnya.

"Hari ini laman FB saya sudah mencecah satu juta pengikut. Terima kasih semua," titah baginda.

Baginda bertitah, FB antara medium sosial penting yang digunakan baginda untuk menyampaikan pelbagai nasihat serta perkara penting dari semasa ke semasa kepada rakyat Johor.

"Halaman itu, bukan sahaja menyiarkan pelbagai aktiviti serta sumbangan Sultan Johor dan Keluarga Diraja Johor, malah menjadi ruangan yang membolehkan rakyat turut menyampaikan pandangan atau idea mereka," titah baginda.

Selain FB, baginda Sultan Johor turut mempunyai medium laman sosial Instagram, malah aktiviti-aktiviti baginda turut dimuatnaik di dalam YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 12:43 PM