GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Hanya 12 jemaah membabitkan pegawai masjid dan surau serta ahli jawatankuasa dibenarkan menunaikan solat fardu lima waktu dan Jumaat di semua masjid dan surau negeri ini, berkuat kuasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 26 Januari nanti.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan demikian dalam kenyataan dikeluarkan pagi ini dan dimuatnaik di akaun rasmi Facebook (FB) baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, keadaan semasa peningkatan penularan jangkitan tempatan Covid-19 di Johor sangat menggusarkan dan membimbangkan baginda.

Titah baginda, pengisytiharan PKP oleh kerajaan bermula 13 hingga 26 Januari ini adalah suatu usaha bagi mengekang dan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 ini.

"Saya menyokong penuh usaha itu demi memastikan negara ini dan Johor khususnya terhindar daripada kemudaratan pandemik ini.

"Oleh itu, bagi tujuan mematuhi PKP, saya menimbang dengan penuh teliti berdasarkan satu daripada prinsip maqasid syariah iaitu menjaga nyawa, maka pelaksanaan solat fardu lima waktu, solat fardu Jumaat, aktiviti pengimarahan masjid dan surau, aktiviti di tanah perkuburan Islam dan majlis akad nikah dalam tempoh PKP perlu dihadkan.

"Solat fardu lima waktu dan solat Jumaat dibenarkan dilaksanakan di masjid dan surau dengan had maksimum 12 jemaah terdiri daripada pegawai masjid dan surau serta ahli jawatankuasa pengurusan kariah.

"Aktiviti pengimarahan masjid dan surau yang dibenarkan ialah solat jenazah dengan had maksimum 12 orang sahaja, takzir dan tahrim oleh pegawai masjid dan surau saja dan solat hajat mengiring solat fardu lima waktu dan solat Jumaat.

"Lain-lain aktiviti pengimarahan masjid dan surau dengan tempoh panjang seperti kuliah, ceramah dan program membudayakan al-Quran adalah tidak dibenarkan, " titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, bagi aktiviti urusan pengebumian di tanah perkuburan Islam, ia dihadkan hanya kepada 20 petugas dan waris keluarga manakala aktiviti ziarah perkuburan tidak dibenarkan.

"Majlis akad nikah hanya dibenarkan di Pejabat Kadi Daerah dan terhad kepada pengantin, wali dari daerah yang sama selain sudah memperoleh kebenaran berkahwin sebelum tarikh PKP dikuatkuasakan.

"Bagi pasangan pengantin yang memperoleh kebenaran berkahwin sebelum PKP tetapi berada di luar daerah atau negeri dari tempat majlis akad nikah iaitu Pejabat Kadi Daerah ditetapkan, majlis akad nikah mereka hendaklah ditangguhkan dan dijadualkan semula," titah baginda.

Baginda bertitah, bagi urusan nikah, cerai dan rujuk seperti pendaftaran cerai dan rujuk, permohonan kad perakuan nikah dan pengambilan dokumen nikah, cerai dan rujuk yang sudah dilakukan, adalah dibenarkan di Pejabat Kadi Daerah.

"Namun bagi permohonan baharu kebenaran nikah dan permohonan pengesahan pendaftaran perkahwinan dan poligami adalah ditangguhkan sepanjang PKP, " titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 10:47 AM