GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sebanyak lapan lagi kluster baharu Covid-19 dikenal pasti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pahang dan Kedah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama dikenali sebagai Kluster Tembok Choh yang dikesan melalui saringan bersasar di sebuah pusat tahanan.

"Kluster ini membabitkan daerah Johor Bahru, Pontian, Kota Tinggi, Kulai dan Mersing. Setakat ini, seramai 382 individu dikesan positif Covid-19 daripada 1,020 individu yang disaring.

"Kluster kedua adalah Kluster Tapak Bina Broga di Hulu Langat, Selangor dengan 64 kes dikesan positif setakat ini.

"Kluster ketiga pula membabitkan Tapak Bina Jalan Stesen di Lembah Pantai. Kes pertama (kes ke-94,863) dilaporkan positif pada 21 Disember lalu melalui saringan individu bergejala dan setakat ini, 54 individu sudah dikesan positif," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kluster keempat adalah Kluster Slot Berjaya yang turut dikesan di Lembah Pantai melalui saringan tempat kerja dan sehingga kini sembilan kes positif direkodkan.

Menurutnya, kluster kelima pula adalah Kluster Jalan Nikolas yang mana kes indeks (kes ke-107,921) dilaporkan positif kelmarin melalui saringan di tempat kerja.

"Sehingga hari ini, sejumlah 54 individu disaring dan enam daripadanya dikesan positif dalam kluster ini.

"Kluster keenam pula adalah Kluster Gerbang Pongsu di Kerian dan Kinta, Perak. Kes indeks (kes ke-100,176) dilaporkan positif pada 24 Disember lalu melalui saringan individu bergejala dan setakat ini sebanyak lapan kes dikesan positif," katanya.

Beliau berkata, Kluster Damai Ketari membabitkan daerah Bentong, Pahang dikesan apabila kes indeks (kes ke-108,567) didapati positif melalui saringan individu bergejala dan saringan berikutnya mengesan 20 lagi kes positif.

Katanya, kluster kelapan adalah Kluster Alor membabitkan daerah Kota Setar, Titiwangsa dan Cheras, Kuala Lumpur.

"Kes indeks (kes ke-101,128) dilaporkan positif pada 25 Disember lalu melalui saringan individu bergejala. Sehingga hari ini 20 kes positif dalam kluster itu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 7:43 PM