DATUK Muhammad Jailani Khamis menunjukkan piala Ketua Menteri Kejohanan Golf 2020 pada sidang media di Hotel Ames, Ayer Keroh, Melaka, hari ini. FOTO Amir Mamat
DATUK Muhammad Jailani Khamis menunjukkan piala Ketua Menteri Kejohanan Golf 2020 pada sidang media di Hotel Ames, Ayer Keroh, Melaka, hari ini. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Ayer Keroh: Pembelian kenderaan mewah jenis Lexus dan Toyota Camry sebagai kereta rasmi Ketua Menteri Melaka serta ahli EXCO negeri diluluskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) tahun lalu.

EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhamad Jailani Khamis, berkata kelulusan itu dibuat oleh kerajaan pimpinan bekas ketua menteri, Adly Zahari sebagai langkah menggantikan kerajaan rasmi jenis Honda Accord yang digunakan ketika itu.

"Saya nak tanya, sebagai kerajaan, kita belanjakan peruntukan pada tahun ini guna bajet (belanjawan) mana? Kita guna bajet yang diluluskan oleh kerajaan pada tahun 2019 (dan) bajet (untuk menukar kereta) itu diluluskan oleh kerajaan PH kerana sudah sampai masa (tempoh untuk menukar).

"Kita bukan beli pun (kereta baharu itu), sebaliknya hanya menyewa dengan syarikat Panorama seperti yang dilakukan sebelum ini," katanya pada sidang media Kejohanan Golf 2020 di Hotel Ames, di sini, hari ini.

Muhamad Jailani berkata, beliau turut terbabit dalam perbincangan menukar kenderaan rasmi itu kerana pada ketika itu masih bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bergabung dalam PH.

Bagaimanapun, katanya, selepas isu pertukaran kereta rasmi yang ditularkan pihak tertentu ketika ini, beliau tidak boleh mendedahkan secara terperinci mengenai perkara sulit kerajaan kerana ia melanggar sumpah kerahsiaan sebagai anggota kerajaan.

"Mungkin mereka sakit hati kerana sudah tidak menjadi kerajaan, tetapi mereka perlu katakan perkara yang benar, jangan bohong dan fitnah. Kalau kata kita tukar kereta baharu, ia dibuat atas dasar keputusan kerajaan yang lepas (PH) tetapi kenapa kerajaan Perikatan Nasional (PN) pula yang dipersalahkan.

"Kita tak boleh dedahkan apa-apa dokumen untuk membuktikannya kerana terikat dengan sumpah kerahsiaan, tetapi kalau berani, boleh cabar saya semasa dewan (Persidangan Dewan Undangan Negeri) nanti.

Sejak bulan lalu, kerajaan negeri membuat pertukaran kereta rasmi membabitkan jenis Lexus ES250 untuk kegunaan Ketua Menteri, manakala Speaker Dewan Undangan Negeri serta ahli EXCO negeri pula menggunakan Toyota Camry.

Isu berkenaan tular di media sosial menyebabkan ada pihak yang mendakwa pembelian kereta berkenaan dibuat oleh bekas Ketua enteri, Adly Zahari selepas diluluskan pada tahun lalu.

Bagaimanapun, Adly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, menafikan perkara berkenaan dan mendakwa tiada keperluan bagi kerajaan PH ketika itu untuk membeli kereta baharu, sebaliknya hanya `mewarisi' kereta yang digunakan anggota kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 7:34 PM