Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad pada sidang media selepas memulakan tugas di Pejabat Menteri Besar Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini. FOTO BERNAMA
Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad pada sidang media selepas memulakan tugas di Pejabat Menteri Besar Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini. FOTO BERNAMA
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: "Kita mahu memberi jaminan rakyat Perak berasa selamat dan tidak merasakan hilang tempat bergantung kepada kerajaan negeri," kata Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad.

Beliau berkata, pihaknya akan membuktikan kepada rakyat bahawa kemelut politik yang berlaku dalam seminggu lalu tidak akan menjadikan kerajaan negeri hilang fokus.

"Semalam selepas majlis angkat sumpah Exco saya dan pegawai kerajaan kembali ke Ipoh dan bermula 8.30 malam semalam, kita mengadakan mesyuarat berkaitan dengan bajet (belanjawan) 2021 yang akan kita bentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu ini.

"Insya-Allah kita akan berusaha sedaya upaya untuk memberi fokus memberi perkhidmatan kepada rakyat, paling penting ialah untuk memastikan kebajikan rakyat Perak ini terbela," katanya kepada sidang media selepas tiba di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak bagi secara rasmi memulakan tugas sebagai Menteri Besar Perak Ke-14 di sini, hari ini.

Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak itu berkata, Mesyuarat Exco yang pertama akan diadakan Isnin ini dan diikuti pertemuan bersama kesemua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Hotel Casuarina bagi mengadakan sesi taklimat berkaitan dengan bajet.

"Ia (pertemuan semua Adun) agar selepas pembentangan pada Rabu ini, Adun dapat membahaskannya pada taklimat yang kita berikan.

"Kita juga sudah putuskan semalam, untuk sesi penggulungan pembentangan bajet ia hanya dilakukan oleh Menteri Besar," katanya.

Sementara itu, Saarani berkata, hari pertama secara rasmi memulakan tugas sebagai Menteri Besar Perak hari ini beliau mengadakan perjumpaan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak Azmir Shah Zainal Abidin dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Zulazlan Abu Hassan.

"Sudah tentu ada perkara yang perlu saya dapatkan penjelasan, nasihat, pandangan daripada ketiga-tiga pegawai ini, pada sebelah petang nanti Insya-Allah saya akan juga mengadakan perjumpaan dengan pegawai kanan jabatan kerajaan negeri.

"Ia untuk saling berinteraksi dan kenal-mengenali agar ada 'chemistry' (keserasian) di antara saya dengan penjawat awam bagi membolehkan kita meneruskan perkhidmatan yang cemerlang untuk rakyat negeri Perak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 2:33 PM