SULAIMAN serah kepada pucuk pimpinan PN mengenai desas-desus menyatakan namanya dikaitkan dengan jawatan Ketua Menteri Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
SULAIMAN serah kepada pucuk pimpinan PN mengenai desas-desus menyatakan namanya dikaitkan dengan jawatan Ketua Menteri Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Sulaiman Md Ali yang disebut antara calon Ketua Menteri (KM) Melaka ke-12 menyerahkan keputusan terbabit kepada pucuk pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, dia mengakui terkejut apabila namanya menjadi sebutan banyak pihak, namun setakat ini belum menerima maklumat rasmi.

“Saya menyerahkan semuanya kepada pucuk pimpinan PN dan pimpinan tertinggi Umno jika benar dikaitkan dengan jawatan berkenaan,” katanya ringkas.

Hari ini, penganalisis politik meletakkan namanya bersama bekas KM, Datuk Seri Idris Haron dan ADUN Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai KM ke-12 negeri berkenaan.

Ia diambil kira menerusi pengalaman luas Sulaiman dalam bidang politik dan perniagaan serta wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bagi penggal kedua dan pernah menjawat Timbalan EXCO Perindustrian dan Perdagangan negeri ketika Idris menjadi KM.

Beliau yang memiliki kelulusan Profesional Sarjana Pengurusan, Pesuruhjaya Jaminan Kualiti (QAC ) dari United Kingdom dan turut berkelulusan latihan di Akademi Laut Malaysia (ALAM) juga ADUN mesra dan disenangi masyarakat.

Semalam, BN Melaka mengumumkan membentuk kerajaan negeri yang baharu menerusi gabungan bersama Bersatu, selain penyertaan ADUN Rembia dari PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan ADUN Pengkalan Batu dari DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee dalam gabungan PN.

BN negeri yang memiliki 13 ADUN, diperkukuhkan lagi dengan penyertaan dua ADUN Bersatu iaitu Mohd Rafiq dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) selain Jailani dan Norhizam menjadikan sokongan kepada PN berjumlah 17 daripada 28 ADUN di negeri terbabit.

Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Sumpah Kerahsiaan dijangka pada Jumaat ini di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) di Kompleks Seri Negeri, Melaka.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 10:11 PM