Datuk Norhizam Hassan Baktee
Datuk Norhizam Hassan Baktee
Hassan Omar

Melaka: Bekas Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Melaka Datuk Norhizam Hassan Baktee berjanji memulangkan kenderaan rasmi kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Menurutnya, penyerahan itu akan dilakukan secepat mungkin sama ada hari ini atau esok bergantung kepada beberapa aspek yang harus diselesaikan terlebih dahulu.

"Saya tidak mahu kereta itu kerana saya pun ada kereta tetapi saya tidak puas hati kenapa exco lain masih dibenarkan menggunakan kenderaan rasmi sedangkan kerajaan negeri sudah tiada?

"Selama ini, saya simpan kereta itu kerana saya marah hanya saya dan Datuk Seri Idris Haron serta Datuk Noor Effandi Ahmad yang diarahkan memulangkan kereta sedangkan exco lain bebas ke hulu ke hilir dengan kereta rasmi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semua Exco Melaka menggunakan kenderaan rasmi Toyota Camry. Idris yang juga bekas Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir Melaka dan Noor Effandi, bekas Exco di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Teknologi Melaka) dilaporkan sudah memulangkan kenderaan itu beberapa hari lalu.

Norhizam juga berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Kamel Mohamad tidak perlu mencuba 'menakut-nakutkan' beliau dan dua bekas exco lain akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang mendedahkan rahsia Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata, beliau, Idris dan Noor Effandi tidak mendedahkan rahsia itu, sebaliknya mempersoalkan pembentukan kerajaan sementara (caretaker) Barisan Nasional (BN) yang didakwanya tidak sah.

"Jangan cubalah untuk menakut-nakutkan kami, jangan fikir kami tidak tahu membezakan antara rahsia MMKN dengan soal dasar.

"Kami tidak pernah mendedahkan rahsia MMKN kerana tahu kami sudah mengangkat sumpah menyimpan rahsia MMKN," katanya.

Sehubungan itu, beliau akan terus membuat kenyataan mengenai aspek kerajaan sementara dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu yang didakwanya dilakukan secara tidak mematuhi undang-undang.

Semalam, Kamel dilaporkan menafikan dakwaan Idris, kononnya terdapat campur tangan pihak ketiga dalam urusan dan keputusan MMKN.

Sebaliknya, beliau menegaskan, semua keputusan dalam mesyuarat berkenaan dibuat secara bersama dan tidak benar segala keputusan perlu dirujuk kepada pihak ketiga.

Kamel berkata, setiap ahli MMKN sudah mengangkat sumpah kerahsiaan dan kerajaan negeri sedang meneliti sama ada sumpah itu dilanggar sebelum memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 10:22 AM