NORHIZAM ketika berdialog dengan nelayan di Tanjung Bidara. FOTO Hassan Omar
NORHIZAM ketika berdialog dengan nelayan di Tanjung Bidara. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Melaka: Bekas EXCO Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee tidak akan memulangkan kenderaan rasmi selagi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) tidak menganjurkan program khusus penyerahan kenderaan semua EXCO di negeri ini.

Beliau menegaskan, SUK harus menganjurkan program berkenaan dengan semua EXCO, termasuk yang masih berkhidmat dalam kerajaan sementara (caretaker) menyerahkan kenderaan masing-masing.

Beliau mendakwa, selain beliau dan bekas EXCO Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Seri Idris Haron dan bekas EXCO di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Teknologi negeri), Datuk Noor Effandi Ahmad, tujuh lagi EXCO dalam kerajaan sementara harus berbuat perkara sama.

Mereka ialah EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Abd Ghafaar Atan, Datuk Muhammad Jailani Khamis (Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan) dan Datuk Latipah Omar (Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan).

EXCO lain ialah Datuk Roslan Ahmad (Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Insfrastruktur), Datuk Ismail Othman (Perpaduan, Perhubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Badan Bukan Kerajaan, Pembangunan Belia dan Sukan) dan Datuk Rahmad Mariman (Kesihatan dan Antidadah).

"Saya tidak gunakan kenderaan rasmi itu, saya simpan kerana saya ada kereta saya sendiri tetapi saya mahu keadilan kerana apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 4 Oktober lalu, sudah tidak ada kerajaan negeri lagi.

"Siapa yang lantik kerajaan sementara (caretaker)? Saya tidak iktiraf kerajaan sementara itu kerana (Speaker DUN, Datuk Seri Ab) Rauf (Yusoh) lantik (Ketua Menteri, Datuk Seri) Sulaiman Md Ali jadi caretaker," katanya tadi.

Semua EXCO Melaka menggunakan kenderaan rasmi Toyota Camry. Idris dan Noor Effandi dilaporkan sudah mengembalikan kenderaan itu kelmarin.

Sehubungan itu, Norhizam meminta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad supaya menganjurkan program penyerahan kenderaan rasmi semua EXCO terbabit dan menjemput media membuat liputan.

"Saya mahu semua media hadir ambil gambar saya dan EXCO lain serahkan kereta masing-masing, barulah adil," katanya.

Kelmarin Sulaiman dilaporkan meminta Norhizam mengembalikan kenderaan itu kerana beliau sudah meletak jawatan.

Selain itu, Norhizam yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu juga terbabit bersama-sama Idris dan Noor Effandi serta bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan menarik sokongan kepada Sulaiman pada 4 Oktober lalu.

Tindakan mereka menyebabkan Kerajaan Barisan Nasional kehilangan majoriti dalam DUN Melaka selepas membentuk kerajaan negeri pada Mac 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 5:22 PM