PEGAWAI dan anggota penguatkuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan tangki minyak di Kampung Anak Ikan, Besut. FOTO Ihsan KPDNHEP.
PEGAWAI dan anggota penguatkuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan tangki minyak di Kampung Anak Ikan, Besut. FOTO Ihsan KPDNHEP.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Gara-gara petrol bercampur air, pengusaha stesen minyak kerugian RM15,798 termasuk membayar ganti rugi kerosakan 23 kereta akibat kejadian itu.

Pengusaha stesen minyak berusia 40-an itu mula menyedari tangki petrol bercampur air susulan hujan lebat di Kampung Anak Ikan, Jertih, Besut, pada 8.30 pagi Rabu lalu.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) cawangan Besut, Azani Ismail berkata, siasatan dilakukan mendapati satu tangki penyimpanan bahan api RON 95 di stesen minyak itu bercampur air susulan hujan pada Rabu lalu.

"Pengusaha stesen minyak itu mula menyedari kejadian ini selepas menerima aduan daripada pemilik kenderaan dan segera memberhentikan operasi penjualan bahan bakar di stesen minyaknya.

"Pengurusan stesen minyak itu mengakui serta mengesahkan sebanyak 23 kereta mengalami kerosakan dan sudah menjelaskan tuntutan ganti rugi kepada pemilik kenderaan itu berjumlah RM4,798," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Azani berkata demikian selepas menerima laporan menerusi Facebook (FB) mengenai sebuah stesen minyak menjual petrol RON95 bercampur air.

Beliau berkata, pengusaha stesen minyak itu turut kerugian RM11,000 berikutan terpaksa menutup operasi untuk kerja pembersihan tangki serta melakukan proses pengasingan air dan minyak.

Menurutnya, pengusaha stesen minyak itu meminta semua pemilik kenderaan yang mengisi minyak bermula 7 pagi hingga 8.30 pagi pada hari sama supaya tampil membuat tuntutan kerugian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 3:10 PM