MOHAMAD Nor Awang membersihkan kapal seratnya yang akan digunakan pada musim tengkujuh yang akan datang. FOTO Sharifah Mahsinah Abdullah
MOHAMAD Nor Awang membersihkan kapal seratnya yang akan digunakan pada musim tengkujuh yang akan datang. FOTO Sharifah Mahsinah Abdullah
BERNAMA

Tumpat: Pengalaman sering dilanda banjir sebelum ini menyebabkan penduduk di Kampung Simpangan, di sini sentiasa bersiap sedia menghadapi kemungkinan bencana itu berlaku lagi tahun ini, terutama apabila tibanya musim tengkujuh.

Penduduk, Mohamad Nor Awang, 76, berkata pertembungan air pasang besar dan hujan lebat yang menyebabkan air sungai melimpah di Sungai Golok pernah menyebabkan banjir hingga rumahnya dinaiki air sehingga lebih satu meter.

"Walaupun banjir itu kebiasaannya akan surut dalam tempoh beberapa jam, sekiranya kejadian itu berlaku pada waktu malam, ia sudah pasti boleh membahayakan nyawa dan merosakkan harta benda.

"Justeru, kebanyakan penduduk akan membuat persediaan awal untuk berhadapan keadaan itu seperti mengemas barang di rumah dan meletakkan kenderaan di tempat lebih tinggi.

"Kebanyakan penduduk di sini mempunyai bot atau perahu yang disimpan di bawah atau tepi rumah," katanya.

Menurutnya, dia mempunyai sebuah bot gentian kaca berharga RM2,000 dan kini perlu dibaik pulih secepat mungkin bagi menghadapi musim tengkujuh.

Katanya, sejak dua hari lalu, air pasang yang bertembung dengan air hujan dari Jeli di Sungai Golok yang terletak kira-kira 30 meter di belakang rumahnya menyebabkan hadapan rumahnya dinaiki air pada paras 0.2 meter.

"Biasanya apabila paras air sudah mencecah sehingga 0.5 meter, penduduk akan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Kubor," katanya.

Menurutnya, di Kampung Simpangan sahaja terdapat 30 keluarga dan semuanya sudah 'lali' dengan kejadian banjir dan sentiasa bersiap sedia.

Difahamkan, selain Kampung Simpangan, beberapa lagi kampung berdekatan seperti Teluk Jering, Derdap dan ah Nibong turut berhadapan masalah sama kerana terletak berhampiran Sungai Golok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 6:18 PM