ALLAHYARHAMAH Manis Muka selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Bugaya, Semporna. FOTO BERNAMA
ALLAHYARHAMAH Manis Muka selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Bugaya, Semporna. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Semporna: Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bugaya Allahyarhamah Datin Manis Muka Mohd Darah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Bugaya di sini, pada 4.45 pagi ini.

Jenazah tiba di Semporna dari Kota Kinabalu pada 3.30 pagi melalui jalan darat.

Terdahulu, jenazah dimandikan dan disolatkan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu pada 4 petang, sebelum dibawa ke Semporna.

Upacara pengebumian itu dijalankan dengan kehadiran sebilangan ahli keluarga.

Dalam pada itu, anak arwah, Fara Deeba Sabardin mendedahkan ibunya menghidap pelbagai komplikasi penyakit termasuk darah tinggi, kencing manis, tumor dan baru-baru ini menjalani pembedahan lutut, selain masalah buah pinggang.

"Tetapi sejak tiga hari lalu, ibu mengadu sakit dan kami beranggapan ibu sakit tulang dan kami membawanya ke Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu.

"Rupanya, ibu sakit akibat buah pinggang dan hari ke hari kesihatannya semakin merosot dan menggunakan mesin ventilator, pada 6 pagi semalam doktor memanggil dan memberi izin untuk kami berjumpa serta mengucup ibu," katanya sambil menambah pada 1.36 tengah hari mesin ventilator itu dihentikan.

Bagi Fara Deeba, ibunya itu seorang yang kuat semangat dan positif kesihatannya boleh beransur pulih bagi membolehkannya mengangkat sumpah sebagai Adun Bugaya sekali gus berbakti kepada rakyat.

"Ibu selalu tidak sihat, kadang-kadang di rumah ibu akan guna kerusi roda tetapi di luar, ibu tidak pernah mahu menunjukkan dirinya sedang sakit," katanya lagi.

Manis Muka, 65, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Bugaya pada Pilihan Raya Negeri Sabah, 26 September lalu, meninggal dunia pada 1.36 tengah hari, semalam, di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu.

Bergiat aktif dalam bidang politik sejak 1985, Manis Muka pernah memegang beberapa jawatan seperti Ketua Wanita Umno Bahagian Semporna dan selepas itu Ketua Wanita Parti Warisan Sabah (Warisan) Semporna.

Manis Muka meninggalkan suami Datuk Sabardin Omrah, 76, serta 13 anak terdiri daripada tujuh lelaki dan enam perempuan berusia antara 49 dan 26 tahun.

Berita berkaitan

Pemimpin Sabah ucap takziah pemergian ADUN Bugaya

ADUN Bugaya meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 9:01 AM