ABDUL Muksin (tengah) menerima baju daripada Razak Sakaran (kiri) pada Majlis Bersama Rakyat di Kampung Indani, Semporna. -Foto FARDY BUNGGA
ABDUL Muksin (tengah) menerima baju daripada Razak Sakaran (kiri) pada Majlis Bersama Rakyat di Kampung Indani, Semporna. -Foto FARDY BUNGGA
Fardy Bungga


CALON Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Abdul Muksin Mohamad Hasan mengumumkan menyertai Barisan Nasional (BN) sekali gus menarik diri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Abdul Muksin berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan rakan seperjuangan serta ahli keluarga terdekat.

Calon Bebas yang menggunakan logo jentolak itu berkata, dia percaya hanya kerajaan BN mampu memerintah dan membawa pembangunan terutama di daerah Semporna.

“Hari ini saya bersama kira-kira 200 penyokong memilih menyertai BN demi kemajuan DUN Bugaya dan Semporna khasnya,” katanya pada Majlis Bersama Rakyat di Kampung Indani, Semporna, hari ini.

Turut hadir ialah calon BN DUN Bugaya, Datuk Razak Sakaran.

Sementara itu, pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Semporna, Dr Chacho Bulah ketika dihubungi berkata, Abdul Muksin masih kekal bertanding sebagai calon Bebas pada hari pengundian esok.

Katanya, penarikan diri tidak boleh dibuat selepas hari penamaan calon dan nama calon berkenaan tetap ada pada kertas undi.

“Untuk hari mengundi esok, nama calon Bebas masih ada dan semua undi yang diberikan kepadanya akan dikira.

“Jika gagal mendapat had undi ditetapkan, dia akan kehilangan deposit mengikut peraturan pilihan raya,” katanya.

DUN Bugaya menyaksikan saingan enam penjuru pada PRU-14 ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 1:21 PM