APMM menyelamatkan dua nelayan di perairan Tanjung Agung-Agung, Kudat. FOTO Ihsan APMM
APMM menyelamatkan dua nelayan di perairan Tanjung Agung-Agung, Kudat. FOTO Ihsan APMM
Fardy Bungga


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan dua nelayan dalam dua kejadian berasingan di perairan Kudat apabila bot dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin, hari ini.

Dalam kejadian pertama, dua nelayan lelaki berusia 16 dan 39 tahun itu dikatakan mengalami kerosakan enjin ketika keluar menangkap ikan sebelum ditemui di kedudukan 3.1 Batu Nautika timur perairan Tanjung Agung-Agung, Kudat.

Pengarah APMM Sabah, Laksamana Muda Kamaruszaman Abu Hassan berkata, operasi mencari kedua-dua mangsa itu dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat melalui talian Malaysia Emergency Respond System (MERS 999) .

Katanya, APMM yang mengambil tindakan pantas mengerahkan dua bot ronda untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat kemudiannya menunda bot nelayan itu ke Jeti Tanjung Kapor.

“Kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibenarkan pulang selepas diambil keterangan,” katanya dalam kenyataan medianya, hari ini.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, APMM turut menghulurkan bantuan menunda bot milik APM yang mengalami kerosakan kira-kira 5.8 Batu Nautika Timur Laut Tanjung Tajau, Kudat.

Kamaruszaman berkata, bot Sealegs yang dalam perjalanan pulang ke pekan Kudat dari Pulau Banggi itu dinaiki sembilan anggota APM sebelum mengalami kerosakan enjin.

“Bot berkenaan seterusnya ditunda ke Jeti Marina Kudat bagi kerja pembaikan,” katanya.

Dalam pada itu, Kamaruszaman mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan memastikan bot serta peralatan keselamatan dalam keadaan baik sebelum melaksanakan sebarang aktiviti di laut.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan untuk menghubungi MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 088-270165 sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung jenayah atau kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 9:35 PM