Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengusir 40 bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan Pulau Jarak dekat sini, semalam.

Pengarah APMM Perak Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, semua bot berkenaan dikesan berada di kedudukan antara 28.5 hingga 30 batu nautika barat laut Pulau Jarak.

Menurutnya, mereka dikesan oleh Kapal Maritim (KM) Rawa yang sedang melaksanakan Op Benteng di perairan negeri itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati masing-masing bot nelayan tradisional Indonesia itu mempunyai empat awak-awak termasuk tekong dan mereka sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.

"KM Rawa memberi amaran keras kepada bot berkenaan dan mereka diarahkan menghentikan aktiviti penangkapan ikan dan keluar dari perairan Malaysia," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, susulan itu KM Rawa mengiringi kesemua bot nelayan itu keluar hingga sempadan maritim Malaysia-Indonesia bagi memastikan mereka tidak berpatah balik.

"Sejak 18 Mac lalu hingga kini, sebanyak 199 bot nelayan Indonesia sudah diusir keluar dari perairan negara selepas dikesan menceroboh dan menangkap ikan di perairan Perak.

"Dalam tempoh itu, tindakan pengusiran bot nelayan asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) keluar dari perairan Malaysia adalah untuk mencegah penularan Covid-19 melalui warga asing.

"Aset APMM Perak akan terus meningkatkan rondaan dan pengawasan terutamanya di titik panas berhampiran sempadan maritim negara dengan negara jiran untuk menyekat PATI dan bot nelayan asing daripada menceroboh dan memasuki negeri ini," katanya.

Shahrizan berkata, komuniti maritim boleh menyalurkan maklumat berkaitan pencerobohan nelayan asing, PATI dan kegiatan jenayah lain kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau National Task Force di talian 011-6251 1123.

Katanya, komuniti maritim juga dinasihatkan supaya memastikan bot sentiasa dalam keadaan baik dan selamat sebelum ke laut dan sebarang kecemasan boleh menghubungi MRSC Langkawi 04-9660537 atau MERS 999.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengusir 40 bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan Pulau Jarak, Lumut. FOTO IHSAN APMM.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengusir 40 bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan Pulau Jarak, Lumut. FOTO IHSAN APMM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2020 @ 5:09 PM