PASUKAN APMM menjalankan operasi menyelamatkan penumpang feri yang terkandas di perairan Pulau Molleangin. FOTO ihsan APMM
PASUKAN APMM menjalankan operasi menyelamatkan penumpang feri yang terkandas di perairan Pulau Molleangin. FOTO ihsan APMM
Juwan Riduan


Kudat: Seramai 119 penumpang feri yang terkandas di perairan Pulau Molleangin, di sini, diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam.

Feri penumpang Labuan Express 7 itu dikatakan dalam perjalanan dari Jeti Feri Karakit, Pulau Banggi menuju ke Jeti Feri Kudat.

Bagaimanapun, feri berkenaan terkandas apabila dibawa arus di kawasan terumbu karang di perairan pulau berkenaan selepas mengalami kerosakan pada bahagian enjin.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, sebaik menerima maklumat jam 12.57 tengah hari, tiga bot ronda APMM dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, ia bagi memberikan bantuan segera dan pemantauan terhadap keselamatan penumpang.

"Turut terbabit dalam operasi menyelamat ialah pasukan Bomba Sukarela Pulau Banggi, Pasukan Polis Marin (PPM), sebuah bot Pantanunam Resort dan dua bot penduduk kampung.

"Semua 119 penumpang feri selamat dipindahkan ke feri penumpang bantuan yang disediakan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Chin Chau berkata, operasi berjaya dilakukan tanpa sebarang kecederaan dan semua mangsa dihantar ke Jeti Feri Kudat.

Sehubungan itu, Chin Chau berkata, APMM ingin menasihatkan pengusaha feri dan pemilik bot supaya memastikan feri serta bot berada dalam keadaan baik.

"Pastikan setiap feri dan bot di bawah seliaan diselenggara dengan baik serta mematuhi undang-undang dan peraturan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 11:10 AM