Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengusir tiga bot nelayan Indonesia bersama 17 kru yang menceroboh perairan Pulau Jarak, dekat sini.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, tiga bot berkenaan dikesan Kapal Maritim (KM) Tugau yang melakukan rondaan dan penguat kuasaan Op Benteng di perairan negeri.

Menurutnya, bot pertama bersama lima kru asing dikesan di kedudukan 22.88 batu nautika Barat Laut Pulau Jarak pada Khamis lalu.

"KM Tugau turut mengusir dua lagi bot masing-masing bersama enam kru di kedudukan 16.4 dan 24.7 batu nautika Barat Laut Pulau Jarak, kelmarin.

"Tiga bot itu diusir secara membayangi sehingga ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengusir bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan Pulau Jarak, Lumut. FOTO IHSAN APMM
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengusir bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan Pulau Jarak, Lumut. FOTO IHSAN APMM

Shahrizan berkata, maklumat pengesanan bot kedua itu diterima melalui Maritime Component Operation Centre (MCOC), Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM dan pesawat udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika rondaan dan pemantauan udara Op Benteng di Selat Melaka.

Katanya, dalam masa 10 hari APMM Perak sudah mengusir empat bot nelayan Indonesia termasuk sebuah bot pada 31 Oktober lalu.

"Pengusiran terhadap nelayan asing ini adalah tindakan semasa dalam mencegah penularan wabak Covid-19 khususnya melalui kes import yang dibawa oleh warga asing," katanya.

Katanya, orang awam dan komuniti maritim boleh menyalurkan maklumat bagi membanteras aktiviti itu ke talian NTF 011- 62511123 atau talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak 05-6838737.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 3:09 PM