Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Empat orang termasuk seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai terbabit dengan samun bersenjatakan parang ditahan polis dalam serbuan di sebuah kediaman di Kampung Melayu Majidee dekat sini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri bersama Bahagian Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menahan kesemua suspek pada 7.45 malam Khamis lalu.

Menurutnya, penahanan itu susulan daripada kejadian membabitkan seorang mangsa yang juga ahli perniagaan berusia 50 tahun disamun dua lelaki warga Indonesia bersenjatakan parang pada 1.45 tengah hari yang sama.

"Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di dahi kerana ditetak, selain kerugian sebanyak RM242,000 iaitu wang yang baharu sahaja dikeluarkan dari sebuah bank di sini.

"Siasatan awal mendapat kumpulan itu mensasarkan mangsa berpakaian kemas dengan menggunakan kereta mewah yang membuat pengeluaran wang di institusi kewangan.

"Mereka akan mengekori mangsanya dengan menaiki kereta yang disewa menggunakan nombor pendaftaran palsu sebelum menyamunnya.

"Duit hasil kegiatan samun itu dipercayai dipindahkan ke akaun bank di Indonesia.

"Sejak tahun lalu, polis sudah mengenal pasti kumpulan penjenayah warga Indonesia yang aktif samun bersenjatakan parang.

"Pada awal tahun ini, kami berjaya menahan enam ahli kumpulan itu yang mana kesemuanya kini sedang menjalani tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), selain menyelesaikan 12 kes membabitkan kerugian hampir RM 2 juta.

"Polis percaya tangkapan ini adalah baki ahli kumpulan samun yang ditahan pada awal tahun ini dan usaha masih diteruskan untuk mengesan, menangkap serta memantau ahli kumpulan penjenayah lain yang masih bebas," katanya.," katanya ketika sidang media di IPK Johor di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, polis turut merampas barangan antaranya tujuh telefon bimbit, dua parang, 12 nombor pendaftaran kenderaan dan wang tunai berjumlah RM26,280.

Menurutnya, keempat-empat suspek berusia 25 hingga 51 tahun direman selama seminggu mulai 23 Oktober lalu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun hingga menyebabkan kecederaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.

Imej CCTV kejadian samun di sebuah farmasi di Jalan Gombak, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu. Foto Ihsan Pembaca
Imej CCTV kejadian samun di sebuah farmasi di Jalan Gombak, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu. Foto Ihsan Pembaca

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 5:11 PM