Oleh Amir Abd Hamid dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menjadi perintis menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan pertuduhan di bawah jenayah terancang dalam usaha membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati).

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, itu antara pendekatan baharu diperkenalkannya sejurus menerajui Polis Johor pada 24 Februari tahun lalu.

Katanya, prosedur tangkapan berkaitan penyeludupan masuk migran dilakukan mengikut Sosma dan dituduh di mahkamah mengikut kesalahan jenayah terancang.

"Keseluruhan rangkaian daripada ketua sindiket, ejen, tekong laut dan darat, rumah penampungan serta transporter kita tangkap. Modul ini turut digunakan di semua kontinjen apabila berhadapan isu penyeludupan.

"Ini memberi impak besar. Saya tidak mengatakan Johor tiada penyeludupan. Masih ada, tetapi kes turun dengan drastik. Ada juga maklumat mengatakan ketua sindiket penyeludupan manusia berpangkalan di Batam, Indonesia sudah merasai bahangnya kerana kita juga berkolaborasi dengan Polis Republik Indonesia (Polri).

"Kita difahamkan baru-baru ini ada satu operasi pihak Indonesia menembak mati satu daripada tekong besar dikenali sebagai Haji Permata di Batam," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Metro Ahad di Bukit Aman, semalam.

Beliau berkata, Polis Johor juga perintis dalam modul kerjasama antara agensi membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam menangani isu Pati dengan pelancaran Op Pintas Bersepadu Selatan pada 22 April tahun lalu.

Op Pintas Bersepadu Selatan itu, katanya, mencetuskan idea pelancaran Op Benteng 1 Jun tahun lalu di peringkat pusat.

Temubual eksklusif bersama Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di Mes Pegawai Bukit Aman. FOTO ASWADI ALIAS
Temubual eksklusif bersama Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di Mes Pegawai Bukit Aman. FOTO ASWADI ALIAS

"Hasilnya JSJ IPK Johor menahan 716 suspek terdiri daripada 196 tekong dan 559 migran. Sebanyak 44 kenderaan darat dan 10 bot bersama 13 enjin bot dirampas.

"Daripada tangkapan itu, 77 suspek termasuk 19 pegawai agensi penguat kuasa dikenakan tindakan di bawah jenayah terancang. Enam suspek diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca)," katanya.

Secara keseluruhan, katanya, JSJ IPK Johor mempamerkan kejayaan membanggakan apabila jenayah indeks sepanjang tempoh tahun lalu menurun 3,183 kes bersamaan 32.85 peratus.

Menurutnya, daripada 7,350 kes disiasat, sebanyak 3,960 kes berjaya diselesaikan dengan peratusan penyelesaian kes 53 peratus dan ia melebihi indeks petunjuk prestasi utama (KPI) sebanyak 45 peratus ditetapkan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Sepanjang tahun lalu juga, 4,597 suspek ditahan JSJ Johor membabitkan pelbagai kesalahan dengan rampasan wang tunai RM1.3 juta.

"Antara kes menarik dapat diselesaikan JSJ IPK Johor seperti warga emas dibunuh pembantu rumah, menumpaskan dua kumpulan pemburu haram, kes bunuh pesara polis, menumpaskan kumpulan samun bersenjata api Geng 21, melumpuhkan kumpulan warga Indonesia terbabit kes samun terhadap mangsa keluar bank, menumpaskan sindiket perjudian dalam talian selain membanteras penyeludupan migran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 12:00 PM