Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kebakaran sebuah kilang pelupusan dan barang terpakai di Kawasan Perindustrian Desa Cemerlang, Seri Alam, Pasir Gudang di sini, Ahad lalu, membongkar kewujudan makmal memproses dadah haram di situ.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Seri Alam bergegas ke lokasi itu untuk serbuan pada 9.40 malam, selepas menerima maklumat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, hasil serbuan itu turut membawa kepada penahanan enam lelaki berusia 34 hingga 48 tahun yang dipercayai ahli sindiket penyeludupan dadah pada 12 tengah malam hari sama, iaitu dua jam selepas kebakaran berlaku.

Katanya, sindiket itu dipercayai menyewa premis di kilang tiga tingkat itu untuk dijadikan makmal dadah dan beroperasi sejak sebulan lalu.

Ayob Khan menunjukkan peralatan memproses dadah yang dirampas dalam serbuan di kilang yang terbakar, Ahad lalu. FOTO Zain Ahmed.
Ayob Khan menunjukkan peralatan memproses dadah yang dirampas dalam serbuan di kilang yang terbakar, Ahad lalu. FOTO Zain Ahmed.

"Polis merampas 30 kilogram (kg) ketamin bernilai RM1.65 juta; 100 liter cecair disyaki dadah bernilai RM3.3 juta dan 2kg serbuk dadah bernilai RM110,000.

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah bernilai RM5.06 juta dengan bekalan itu boleh digunakan seramai 660,000 penagih.

"Alatan membuat dadah turut dirampas membabitkan prekusor serta mesin memproses dadah bersama balang kaca yang mampu memproses sehingga 100 liter, iaitu peralatan paling besar pernah dirampas setakat ini," katanya pada sidang media di IPK Johor di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, pihaknya juga menyita enam kereta bernilai RM398,000, sebuah motosikal Yamaha Ego RM4,000, dua jam tangan RM1,300, wang tunai RM6,400, 15 keping barang kemas bernilai RM59,220 dan lima akaun bank bernilai RN873,042.61.

"Nilai keseluruhan barangan disita adalah RM1.34 juta," katanya yang memberitahu semua suspek direman sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, ujian saringan air kencing enam suspek itu mendapati kesemua mereka negatif dadah dan lima daripada mereka mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

"Siasatan juga mendapati suspek adalah anggota sebuah kumpulan gangster dan kita sedang mengesan lima lagi individu iaitu empat lelaki serta seorang wanita berusia 33 hingga 46 tahun yang dipercayai ahli perniagaan yang menyalurkan dana kepada makmal dadah itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 12:48 PM