Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah Ah Soon membabitkan nilai rampasan berjumlah RM737,000 dalam tiga serbuan di sekitar Seri Alam di sini Khamis dan Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket dipercayai beroperasi sejak enam bulan lalu.

Katanya, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor itu turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang dipercayai bertindak sebagai 'runner'.

"Bekalan dadah dipercayai dari utara tanah air untuk dipasarkan di sekitar Johor Bahru.

"Kita percaya sindiket mungkin menggunakan khidmat penghantaran dan siasatan masih diteruskan bagi memburu saki-baki ahli sindiket," katanya dalam sidang media di IPK Johor di sini, hari ini.

Katanya, rampasan dadah merangkumi 2.7 kilogram syabu, 12,000 pil ecstasy, 23,000 pil erimin 5 dan 530 gram ketamin.

"Polis turut menyita sebuah kereta Toyota Camry, sebuah Nissan Grand Livina, barangan kemas dan wang tunai berjumlah RM1,700.

"Jumlah nilai rampasan dadah dan sitaan adalah RM811,700," katanya.

BEBERAPA jenis dadah termasuk pil Erimin 5, Syabu, pil Ecstacy dan Ketamin yang dirampas daripada sindiket Ah Soon. FOTO Zain Ahmed
BEBERAPA jenis dadah termasuk pil Erimin 5, Syabu, pil Ecstacy dan Ketamin yang dirampas daripada sindiket Ah Soon. FOTO Zain Ahmed

Beliau berkata, suspek yang ditahan turut mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 373 Kanun Keseksaan.

Suspek direman tujuh hari bermula 27 November lalu sehingga 4 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, sejak awal Januari hingga 28 November lalu, JSJN Johor berjaya menahan seramai 17,603 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan bagi tempoh sama membuat rampasan dadah sebanyak 2.66 tan.

Katanya, keseluruhan dadah yang dirampas adalah bernilai RM 29.59 juta dan sitaan harta bernilai RM 13.56 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 1:20 PM