Omar Ahmad


Johor Bahru: Polis menumpaskan kumpulan sindiket pengedaran dadah Xiang dan Nathan tumpas dalam lapan serbuan berasingan sekitar Johor Bahru, Kulai, Iskandar Puteri dan Kluang pada 16 dan 19 September lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay berkata, serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM210,993.

Katanya, seramai 10 lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki warga Singapura berusia 17 hingga 62 tahun yang juga ahli kedua-dua sindiket ditahan.

"Sindiket Xiang aktif sejak dua tahun lalu, manakala Nathan mula aktif sejak enam bulan lalu. Modus operandi kedua-dua sindiket ini sama, mendapatkan bekalan dadah dari utara tanah air dan kemudiannya diproses sebelum dijual kepada pengedar tempatan.

"Bagi sindiket Xiang, dadah jenis syabu akan dipaket seberat satu kilogram dan kemudianya dijual dengan harga RM28,000 setiap satu paket," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Johor, di sini hari ini.

DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay (tengah) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas daripada sendiket pengedaran dadah yang beroperasi di sekitar Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay (tengah) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas daripada sendiket pengedaran dadah yang beroperasi di sekitar Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed

Menurut Ayob Khan, tujuh akaun bank daripada lima individu dipercayai hasil daripada kegiatan pengedaran dadah berkenaan disita membabitkan nilai RM26,483.

Pihaknya turut merampas empat kereta dan sebuah motosikal dan wang tunai bernilai RM54,380.

"Antara jenis dadah yang dirampas ialah 7,900 pil eramin, 629 pil ekstasy, 85.1 gram ketamin, 274.40 gram syabu, 109.5 gram serbuk ekstasy dan tujuh kilogram ganja.

"Daripada 13 yang ditahan, hasil saringan air kencing mendapati tujuh suspek positif dadah jenis methapethamine.

"Manakala sembilan suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

"Kesemua suspek ditahan reman bermula 16 September hingga 23 September untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A( 1) Akta Daddah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 3:44 PM