Mohamed Farid Noh

POLIS Johor berjaya mematahkan satu sindiket pemburuan haiwan eksotik menggunakan senjata api haram dalam dua operasi di Mersing dan Kluang, awal pagi dan malam tadi.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata dalam dua operasi itu enam suspek termasuk pemburu haram berusia antara 33 hingga 53 tahun ditahan selain dua senapang buatan sendiri dan sebuah senapang patah turut dirampas.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kedua tangkapan di Mersing dan Kluang itu dipercayai sindiket berkaitan dan beroperasi sejak 2018.

"Sindiket ini dipercayai membekalkan daging haiwan eksotik untuk restoran dan Kluang selain dieksport ke luar negara.

"Dalam operasi pertama Ops Khazanah Pemburuan Haiwan Eksotik, Liar dan Terlindung yang dibuat di tepi Sungai Lenggor, Jamaluang, Mersing kira-kira jam 1.30 pagi semalam itu, anggota penguat kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan tiga lelaki berusia antara 33 hingga 47 tahun.

"Turut dirampas dua bahagian babi hutan, duri landak, dua laras senapang buatan sendiri, tiga butir peluru penabur, tiga bilah parang selain sebuah pacuan empat roda.

"Hasil siasatan juga mendapati suspek belajar membuat senapang digunakan itu dari Youtube.

"Kesemua tiga suspek itu kini ditahan reman tujuh hari bermula hari ini hingga 16 Ogos depan berhubung kesalahan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Akta Senjata 1960," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

AYOB Khan (kanan) bersama pegawainya menunjukkan selaras senapang patah serta peluru penabur yang dirampas daripada pemburu haiwan eksotik secara haram di sekitar Kluang dan Mersing pada sidang media kes Pemburuan Haiwan Eksotik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. FOTO Zain Ahmed
AYOB Khan (kanan) bersama pegawainya menunjukkan selaras senapang patah serta peluru penabur yang dirampas daripada pemburu haiwan eksotik secara haram di sekitar Kluang dan Mersing pada sidang media kes Pemburuan Haiwan Eksotik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. FOTO Zain Ahmed

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dilaporkan murka dengan aktiviti pemburuan haram di beberapa kawasan hutan di sekitar Johor.

Sultan Ibrahim dalam muat naik di akaun Facebook baginda, dilaporkan bertitah sungguh pun sebelum ini sudah beberapa kali membangkitkan isu pemburuan haram, baginda kecewa kerana tiada sebarang tindakan yang dilakukan.

Baginda turut dilaporkan menerima maklumat berserta beberapa gambar mengenai satu aktiviti pemburuan haram berskala besar dilakukan malam tadi.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, operasi kedua hasil maklumat Sultan Johor yang dilakukan di Kluang kira-kira jam 10 malam tadi.

"Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang berjaya menahan dua suspek lelaki dan seorang suspek wanita berusia antara 44 hingga 53 tahun kerana terbabit dalam kegiatan pemburuan haiwan eksotik.

"Turut dirampas 54 bahagian babi hutan, 17 bahagian disyaki ayam hutan, 10 bahagian disyaki burung Puchong, enam bahagian disyaki daging kijang, dua kepala kijang, selaras senapang patah, 270 butir peluru senapang patah, sebuah pacuan empat roda dan sebuah buku lesen senjata api, " katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek berkenaan pula direman tiga hari bermula hari ini hingga Rabu ini.

Katanya, mereka disiasat mengikut Seksyen 8, 8(a) dan 8(b) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 60(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

"Mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 tidak dibenarkan lagi memburu haiwan terutamanya haiwan esotik dan dilindungi di Semenanjung Malaysia.

"Polis Johor akan mengambil tindakan tegas membatalkan lesen senjata api jika terdapat sebarang salah guna atau pelanggaran syarat senjata api. Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pemburuan haram boleh hubungi Bilik Gerakan Kontinjen Johor di talian 07-2254074," katanya.

AYOB Khan menunjukkan gambar daging haiwan yang dirampas. FOTO Zain Ahmed
AYOB Khan menunjukkan gambar daging haiwan yang dirampas. FOTO Zain Ahmed

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 5:50 PM