AZURI (kanan) meninjau sendiri kawasan tadahan air bukit untuk keperluan murid Orang Asli tinggal di asrama SK Tohoi. FOTO Ramli Ibrahim
AZURI (kanan) meninjau sendiri kawasan tadahan air bukit untuk keperluan murid Orang Asli tinggal di asrama SK Tohoi. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

Gua Musang: Masalah 100 murid Orang Asli di asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang terputus bekalan air sejak sebulan lalu bakal selesai dalam masa terdekat.

Pegawai Pelajaran Daerah (PPD), Azuri Hamzah berkata, usaha sedang dilakukan bagi membaik pulih tadahan air bukit yang terletak tidak jauh dari situ.

Katanya, masalah berlaku apabila bekalan air itu terputus berikutan kawasan tadahan tersumbat dengan pasir dan lumpur.

Berikutan itu, beliau mengarahkan guru membantu bagi membersihkan kawasan tadahan air bukit terbabit supaya dapat digunakan semula dengan sempurna.

"Hari ini saya sendiri turun padang bagi meninjau masalah yang berlaku dan puncanya sudah ditemui.

"Oleh itu, kita yakin air tadahan bukit masih diperlukan bagi kegunaan guru dan murid Orang Asli tinggal di asrama," katanya, di sini, hari ini

Azuri berkata, pihaknya juga sebelum ini cuba mencari alternatif lain untuk mendapatkan sumber air bersih bagi keperluan sekolah terbabit.

Menurutnya sebelum ini sekolah tersebut sudah mencuba kaedah telaga tiub namun gagal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 2:48 PM