GURU SK Bihai membaiki sendiri jalan rosak untuk ke sekolah. FOTO Ramli Ibrahim
GURU SK Bihai membaiki sendiri jalan rosak untuk ke sekolah. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


CABARAN cukup hebat bagi guru yang mengajar di sekolah pedalaman di Gua Musang tetapi mulianya apabila guru membaiki sendiri jalan rosak ke sekolah.

Seramai 14 guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai bergotong-royong membaiki jalan, semalam supaya mudah lalui kenderaan guru ke sekolah, semalam.

Guru Besar SK Bihai, Junazri Jusoh yang mengetuai program itu mengakui sudah tiga hari guru sekolah berkenaan terkandas dari Kampung Kuala Betis ke Pos Bihai susulan hujan lebat, Jumaat lalu.

Katanya, guru membawa cangkul dan penyodok tanah sebelum memulakan perjalanan 7 pagi semalam dengan kenderaan pacuan empat roda dan motosikal.

"Apabila kenderaan tersekat dalam selut, kita terpaksa menimbus tanah bukit menggunakan cangkul dan penyodok tanah bagi menutup laluan berselut itu.

"Hari ini dalam sejarah bagi kami semua mengambil masa perjalanan 11 jam sampai ke sekolah berbanding biasanya hanya empat jam sahaja," katanya, hari ini.

SK Bihai antara empat sekolah rendah di pedalaman kampung Orang Asli yang terputus hubungan disebabkan jalan rosak ditimbus bukit runtuh kerana banjr lumpur.

Tiga sekolah lagi termasuk SK Tohoi, Balar dan Hendrop yang masih terputus hubungan kerana jalan rosak dan jambatan runtuh.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD), Azuri Hamzah berkata, guru sekolah itu memberi contoh terbaik berbakti kepada sekolah dan masyarakat.

Beliau berkata, walaupun dua hari mereka terkandas ke SK Bihai kerana jalan rosak rosak teruk tetapi ada usaha dilakukan bagi memudahkan perjalanan.

"Walaupun membaiki jalan rosak itu bukan tugas mereka tetapi mulianya apabila terpaksa berbuat demikian ketika berdepan masalah berkenaan.

"Lebih penting mereka dapat sampai ke sekolah bagi menunaikan tanggungjawab mendidik anak Orang Asli," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 11:03 AM