Juwan Riduan

Putatan: Hujan dan angin kencang malam tadi menyebabkan Pasar Sementara Putatan dan tiga rumah di Kampung Pasir Putih, di sini, rosak.

Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, Pasar Sementara Putatan mengalami kerosakan teruk termasuk bumbung runtuh bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Fadilah Ahmad Fauzi, 25, berkata ketika kejadian dia berada di dapur rumahnya dan sedang mencuci pinggang mangkuk.

"Ketika itu, kedengaran bunyi angin lalu lampu siling terjatuh. Saya kemudian meluru masuk ke ruang tamu bersama enam ahli keluarga.

"Selepas keadaan reda, kami terkejut apabila bumbung dapur tercabut dan diterbangkan ke bahagian laman hadapan rumah.

"Kejadian itu berlaku dengan pantas dan kami tidak menyedari bumbung rumah diterbangkan angin. Keadaan rumah kami terjejas teruk," katanya.

Tinjauan mendapati keadaan bumbung pasar sementara itu ranap dan beberapa tiang besi tercabut.

Difahamkan ketika kejadian, pasar berkenaan tidak beroperasi dan sepasukan polis turut berada di lokasi kejadian bagi memeriksa keadaan pasar berkenaan.

Bumbung Pasar Pagi Putatan runtuh akibat angin kencang. FOTO JUWAN RIDUAN
Bumbung Pasar Pagi Putatan runtuh akibat angin kencang. FOTO JUWAN RIDUAN

Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya yang melakukan tinjauan pagi tadi berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kerosakan akibat kejadian berkenaan.

Menurutnya, Majlis Daerah Putatan (MDPTN) akan meminta jurutera daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah untuk menilai integriti struktur pasar yang terjejas.

"Pagi ini saya melawat tapak Pasar Sementara Putatan yang berada di belakang Dewan Sri Putatan, Kampung Pasir Putih Putatan, sebahagian daripada struktur bumbung pasar itu rosak ditiup angin kencang.

"Ini mengakibatkan beberapa peniaga di Pasar Sementara berkenaan tidak dapat menjalankan perniagaan. Bagaimanapun, kita bersama MDPTN sudah bersetuju untuk membina atau menyediakan khemah sementara supaya peniaga di pasar dapat meneruskan perniagaan harian mereka," katanya.

Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat berkata, dalam masa yang sama turut mengadakan tinjauan rapat ke beberapa buah rumah penduduk di Kampung Pasir Putih, Putatan yang terjejas selepas bumbung kediaman mereka diterbangkan angin kencang semalam.

"Kita juga melawat ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Putatan yang turut terjejas sedikit dan tiga buah rumah penduduk kampung yang turut mengalami kerosakan bumbung rumah rumah mereka.

"Alhamdulillah, Jabatan Kebajikan ada bersama kita dan akan membantu urusan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 3:27 PM