ASRAMA pondok mengaji di Sungai Karangan yang musnah dalam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba
ASRAMA pondok mengaji di Sungai Karangan yang musnah dalam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Asrama Pondok Pengajian Ustaz Haji Adnan, Kampung Paya Kelubi, Sungai Karangan, Padang Serai, di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 7.48 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Yusri Yusof tiba di lokasi 8.10 malam.

"Operasi disertai 10 anggota dan dua jentera selain dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lunas, Karangan dan Kulim.

"Setibanya di lokasi, didapati kebakaran membabitkan sebuah asrama sekolah pondok yang musnah 90 peratus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, ketika kejadian tiada mangsa dilaporkan berada di situ.

Katanya, api berjaya dikawal hampir tujuh minit kemudian.

"Setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 11:24 PM