LELAKI ditemui lemas selepas tergelincir ke dalam Sungai Karangan, Kulim ketika memancing. FOTO ihsan bomba.
LELAKI ditemui lemas selepas tergelincir ke dalam Sungai Karangan, Kulim ketika memancing. FOTO ihsan bomba.
Nor Farhani Che Ad


LELAKI ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Karangan berdekatan Kampung Sungai Karangan, di Kulim, hari ini.

Mangsa, Abdul Hadi Ghazali, 26, dari Kampung Keda, Bagan Sena, Labu Besar dipercayai tergelincir ketika memancing seorang diri di kawasan berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 3.34 petang.

Beliau berkata, seramai 14 anggota operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hitech bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Anggota operasi menggunakan teknik pencarian pada permukaan (surface searching) dilakukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

"Mayat mangsa ditemui kira-kira dua meter dari lokasi dilaporkan terjatuh pada 6.55 petang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, difahamkan mangsa mengalami sawan dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 9:50 PM