LONGKANG yang dipercayai tempat kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun terjatuh sebelum dihanyutkan arus deras ke sungai berhampiran. FOTO Ihsan Bomba
LONGKANG yang dipercayai tempat kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun terjatuh sebelum dihanyutkan arus deras ke sungai berhampiran. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ditemukan lemas selepas tergelincir dalam longkang sebelum dihanyut ke dalam sungai berhampiran di Felda Gunung Bongsu, Karangan, di sini, hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku ketika umat Islam berbuka puasa, sekitar 7.20 malam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.24 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi- Tech yang diketuai Mohd Yazan Yahya tiba di lokasi pada 7.57 malam.

"Operasi disertai lapan anggota bersama sebuah jentera serta sebuah kenderaan utiliti.

"Setibanya di lokasi didapati, mangsa ( Naera Dellisha Muhamad Nazri, 3) dipercayai terjatuh ke dalam longkang akibat tergelincir," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, mangsa dihanyutkan arus deras ke dalam sungai berdekatan selepas hujan.

Beliau berkata, tindakan awal anggota adalah dengan melakukan pencarian di permukaan air sungai di lokasi.

"Bagaimanapun, mangsa akhirnya ditemukan orang awam pada 8.40 malam pada jarak kira-kira 400 meter dari tempat mangsa terjatuh.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan kesihatan yang hadir ke lokasi kejadian dan dibawa pulang ke rumah keluarga mangsa," katanya.

Katanya, operasi diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya sebelum ditamatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 10:32 PM