Zuliaty Zulkiffli


"SAYA dengar jiran jerit api..api..terus saya lari keluar dari rumah, tak sempat selamat apa barang pun sebab api merebak dengan cepat," kata Firdaus Md Saad, 36.

Dalam kejadian 7.45 malam itu, Firdaus yang tinggal di rumah pusaka itu seorang diri berada di halaman rumahya di Kampung Lubuk Batu, Jalan Wang Tepus, Jitra sebelum terdengar jeritan jiran yang ternampak api dalam rumahnya.

Menurutnya, dia yang tergamam tidak sempat berbuat apa-apa selain hanya mampu melihat rumahnya dimamah api.

"Isteri tinggal di Kuala Lumpur sebab masih Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) manakala ibu bapa saya pula tinggal di pondok mengaji di Wang Tepus.

"Mujur ketika kejadian mereka (ibu bapa) tiada di rumah kerana mereka selalu balik seminggu sekali di sini tapi waktu kejadian hanya saya seorang di rumah," katanya hari ini.

Firdaus berkata, lebih terkilan apabila semua dokumen penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan wang simpanan yang disimpan untuk kegunaan harian juga musnah terbakar.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan 7.50 malam tadi berhubung kebakaran itu.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karudin tiba di lokasi pada 8.05 malam.

"Operasi disertai 11 anggota dan tiga jentera dari BBP Jitra dan dibantu empat Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Pinang, Tunjang, Pokok Sena dan Seberang Nyonya.

"Setibanya di lokasi didapati kebakaran membabitkan sebuah rumah kelas B dua tingkat. Api berjaya dikawal lapan minit selepas ketibaan anggota bomba di lokasi kejadian dan dipadam sepenuhnya 9.19 malam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 10:24 AM