ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan terhadap individu yang didapati memandu dalam keadaan mabuk menerusi Operasi Alkohol dan Pencegahan Jenayah di beberapa lokasi sekitar Petaling Jaya. FOTO Ihsan PDRM
ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan terhadap individu yang didapati memandu dalam keadaan mabuk menerusi Operasi Alkohol dan Pencegahan Jenayah di beberapa lokasi sekitar Petaling Jaya. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Saban minggu operasi dilakukan polis daerah Petaling Jaya, namun masih ramai pemandu mabuk diberkas kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Terbaru seramai lapan lelaki yang didapati memandu dalam keadaan mabuk ditahan menerusi Operasi Alkohol dan Pencegahan Jenayah yang dijalankan di beberapa lokasi di sekitar daerah ini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, seramai 828 pengguna jalan raya serta 712 kenderaan diperiksa dalam operasi berkenaan.

"Hasil pemeriksaan itu, kami menahan lapan lelaki berusia antara 23 hingga 57 tahun kerana didapati memandu dalam keadaan mabuk.

"Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Nik Ezanee berkata, pihaknya turut mengenakan tindakan saman terhadap 54 pengguna jalan raya dengan 22 daripadanya membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 26 Akta Pengangkutan 1987 kerana memandu atau menunggang kenderaan tanpa lesen.

"Bagi kesalahan itu, individu terbabit dikehendaki hadir ke mahkamah pada suatu tarikh yang dinyatakan untuk dibicarakan.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus melaksanakan operasi itu dalam usaha membanteras dan mencegah pengguna jalan raya daripada memandu atau menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 7:50 PM