Nurul Hidayah Bahaudin


EMPAT lelaki memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan dalam Operasi Alkohol dan Pencegahan Jenayah di beberapa lokasi di sekitar Petaling Jaya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, operasi bermula 11 malam hingga 3 pagi tadi memeriksa seramai 755 individu dan 641 kenderaan.

Katanya, daripada jumlah itu, empat lelaki berusia antara 37 hingga 59 tahun ditahan selepas didapati memandi di bawah pengaruh alkohol.

"Semua individu yang ditahan terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 45(A)1 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya juga memandang serius terhadap kesalahan memandu atau menunggang kenderaan tanpa lesen.

"Hasil operasi dilakukan itu, seramai 48 individu dikenakan tindakan sama atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

"Daripada jumlah itu, 17 daripada mereka disaman mengikut Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu atau menunggang kenderaan tanpa lesen dan dikehendaki hadir ke mahkamah pada tarikh ditetapkan untuk dibicarakan.

"Jika sabit kesalahan, individu itu boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata, fokus operasi itu dilaksanakan bertujuan untuk membanteras dan mencegah pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol.

"Tindakan mereka yang memandu dalam keadaan mabuk boleh membahayakan keselamatan serta mengakibatkan kematian kepada orang lain.

"Justeru, kami akan terus melaksanakan operasi itu bagi memastikan semua pengguna jalan raya di daerah ini mematuhi peraturan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 2:58 PM