ANGGOTA polis melakukan ujian alkohol terhadap pemandu dalam Operasi Alkohol dan Pencegahan Jenayah yang dilakukan di beberapa lokasi di Petaling Jaya, semalam. FOTO ihsan PDRM
ANGGOTA polis melakukan ujian alkohol terhadap pemandu dalam Operasi Alkohol dan Pencegahan Jenayah yang dilakukan di beberapa lokasi di Petaling Jaya, semalam. FOTO ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


TIGA lelaki ditahan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Alkohol dan Pencegahan Jenayah yang dilakukan di beberapa lokasi di Petaling Jaya semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, operasi itu dilakukan bermula 11 malam hingga 3 pagi.

"Seramai 280 pengguna jalan raya dan 214 kenderaan diperiksa dalam operasi ini, hasilnya tiga lelaki berusia antara 29 hingga 38 tahun ditahan selepas dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Mereka yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 45(a)1 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, seramai 22 pengguna jalan raya dikenakan tindakan saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

"Seramai 10 daripadanya disaman mengikut Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu atau menunggang kenderaan tanpa lesen.

"Bagi kesalahan ini, individu terbabit dikehendaki hadir ke mahkamah untuk dibicarakan," katanya.

Beliau berkata, hasil tinjauan semalam mendapati masih ada pengguna jalan raya yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Fokus utama operasi ini dilaksanakan bertujuan untuk membanteras dan mencegah pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol yang membahayakan keselamatan dan boleh mengakibatkan kematian orang lain.

"Kami memandang serius terhadap kesalahan pengguna jalan raya yang memandu dan menunggang kenderaan tanpa lesen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 4:33 PM