MOTOSIKAL dan barangan lain yang dirampas daripada suspek yang ditahan di Taman Kobis, semalam. FOTO Ihsan PDRM.
MOTOSIKAL dan barangan lain yang dirampas daripada suspek yang ditahan di Taman Kobis, semalam. FOTO Ihsan PDRM.
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Memiliki 12 rekod kesalahan lampau dan pernah dipenjarakan, namun seorang lelaki tidak pernah serik melakukan jenayah hingga ditahan sekali lagi di Taman Kobis, Lunas di sini.

Penganggur berusia 35 tahun itu ditahan anggota Balai Polis Kulim Hi-Tech ketika menunggang motosikal namun, mencurigakan pada 1 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, pemeriksaan terhadap beg galas dipakai menemui MyKad, kad ATM dan lesen memandu pelbagai pemilik dipercayai dicuri, selain ada pemotong wayar, parang berukuran 46 sentimeter dan playar.

Katanya, siasatan mendapati beberapa dokumen itu milik seorang mangsa yang keretanya pernah dipecah dan satu MyKad pernah dilapor hilang di Pokok Assam, Taiping, Perak.

"Untuk itu suspek yang menetap di Bedong, Sungai Petani ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana curi dalam kenderaan dan Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990," katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih mengesan pemilik dokumen lain yang ditemui pada suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 10:43 AM