Norazle  menunjukkan  kad pengenalan palsu yang dijumpai ketika Ops ID di sekitar Tangga Batu dan Kampung Gelam.
Norazle menunjukkan kad pengenalan palsu yang dijumpai ketika Ops ID di sekitar Tangga Batu dan Kampung Gelam.
Oleh Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Tujuh warga Filipina membabitkan empat wanita dan tiga lelaki berusia 25 hingga 45 tahun ditahan kerana memiliki MyKad palsu hasil serbuan di Kampung Gelam dan Tangga Batu, semalam.

Ops ID membabitkan Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu bermula jam 12 tengan malam sehingga 5 pagi membawa kepada rampasan sembilan MyKad, tiga kad pengenalan, sementara (KP-09) palsu dan satu kad pengenalan bermutu tinggi milik individu lain.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka Norazle Sulaiman berkata, dalam serbuan di Kampung Gelam, pihaknya menahan dua wanita dan seorang lelaki warganegara Filipina kerana memiliki MyKad palsu.

Dalam serbuan di Tangga Baru pula, pihaknya menahan tiga wanita memiliki kad pengenalan sementara KP09 palsu dan seorang lelaki juga warga Filipina yang memegang MyKad berkualiti tinggi dikeluarkan JPN milik individu lain yang dipalsukan butirannya.

“Taktik digunakan adalah menampal butiran diri dan gambar pemegang bukan warganegara menggunakan plastik pada permukaan MyKad yang kelihatan seperti asli dan dikeluarkan JPN.

“Ruangan gambar pemilik asal pada MyKad dipercayai dipadamkan sebelum dipadankan dengan gambar serta butiran diri warganegara asing itu,” katanya.

Beliau berkata, kad pengenalan sementara KP09 yang ditunjukkan kepada penguat kuasa juga seolah-olah asli, ia dicetak menggunakan kertas berkualiti tinggi serta mempunyai tandatangan Ketua Pengarah JPN.

“Namun, kami mengesan kecacatan apabila penelitian dilakukan mendapati beberapa aspek seperti logo Kementerian Dalam Negeri (KDN), Sijil Pengiktirafan MS ISO dan cop Pegawai Pendaftaran Kota Kinabalu yang tidak sepatutnya ada tertera pada dokumen itu,” katanya.

Beliau berkata, lelaki yang ditahan di Tangga Batu juga memiliki kad pengenalan dipalsukan apabila menggunakan kad pengenalan asli bermutu tinggi milik individu lain bagi mengelirukan pihak berkuasa.

“Kad pengenalan itu memang asli, namun maklumat pada MyKad itu tertera butiran diri lelaki terbabit juga ditampal menggunakan plastik di permukaan dokumen itu,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di kediaman dihuni lelaki itu, pihaknya turut menemui lima MyKad palsu disembunyikan di bawah alas rak selain beberapa beg tangan dan dompet ditemui dalam bilik.

Norazle berkata, semua individu terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh dihukum penjara hingga tiga tahun atau denda RM20,000.

“Individu berkenaan ditahan reman untuk membantu siasatan kes ini selama empat hari bermula Isnin (hari ini),” katanya.

Operasi itu turut disertai 30 pegawai dan anggota JPN, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen. Pihak berkuasa turut menahan dua lelaki warganegara asing bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 7:30 AM