Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kertas siasatan berhubung isu 101 projek rundingan terus yang diluluskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini masih belum dibuka.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya masih lagi mengkaji beberapa perkara berikutan ia bukan perkara mudah dan membabitkan kerajaan terdahulu.

"Tiada kertas kertas siasatan dibuka lagi kerana ini bukan satu perkara mudah untuk kenal pasti syarikat terbabit rasuah dan salah guna kuasa.

"Perlu diingatkan bidang kuasa kami untuk siasat salah guna kuasa, jadi saya tidak mahu komen banyak kerana ia berkaitan sesuatu perkara dibuat kerajaan PH (Pakatan Harapan).

"Kami juga mengambil kira dalam Parlimen tidak disebut isu salah guna kuasa atau rasuah. Jadi di sini kami masih lagi mengkaji 101 projek ini," katanya dalam sidang media selepas Forum 'Corporate Liability: Are You At Risk' di hotel di sini, hari ini.

Pada 24 Ogos lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan perkara itu di Dewan Rakyat, bahawa kerajaan PH meluluskan 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata, berhubung pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang, pihaknya mengesahkan SPRM sudah membuka kertas siasatan.

"Kami melihat beberapa isu di bawah bidang kuasa kami dan siasatan dilakukan bersama polis, bagaimanapun maklumat lanjut tidak boleh didedahkan," katanya.

Berita berkaitan:

  • MOF senaraikan 101 projek rundingan terus
  • 'SPRM kena hubungi MOF, saya tiada butiran 101 projek itu'
  • SPRM terima memorandum projek rundingan terus
  • Rundingan terus adalah lumrah, perkara biasa: Guan Eng
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 12:34 PM