PETIKAN video tular yang sempat dirakam sebelum penerjun wanita cedera ketika mendarat.
PETIKAN video tular yang sempat dirakam sebelum penerjun wanita cedera ketika mendarat.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


POLIS mengesahkan wanita yang cedera ketika melakukan penerjunan udara 'Merdeka Jump 2020' di Lapangan Terbang Tekah, Taiping, kelmarin, patah paha kiri selain mengalami pendarahan otak.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kejadian 9.45 pagi itu berpunca daripada tindakan wanita berusia 40 tahun itu sendiri gagal mengikuti arahan jurulatih.

"Keadaan payung terjun yang digunakan wanita itu 'kembang' (terbuka) dalam keadaan baik.Pada ketinggian 500 kaki, mangsa bergerak ke 'Down Wind' walau sudah diarahkan untuk membuat pusingan persediaan mendarat.

"Namun pada ketinggian 80 kaki barulah dia buat pusingan itu tanpa membetulkan pergerakan payung, lalu menyebabkannya terhempas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, sejurus kejadian mangsa yang berasal dari Selangor turut tidak sedarkan diri sehingga hari ini.

"Kini beliau masih dirawat di Hospital Taiping," katanya.



Klip video yang memaparkan kejadian itu mula tular di media sosial sejak kelmarin, menyaksikan pendaratan wanita itu terganggu apabila kelihatan seakan hilang kawalan dengan berpusar di udara sebelum terhempas ke padang tanah dalam keadan kaki dibiarkan lurus.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan program terjunan payung udara itu mewarnai sambutan Hari Kebangsaan ke-63 tahun ini apabila disertai 128 penerjun sekali gus melakar sejarah dalam The Malaysia Book of Records (MBOR), bertepatan sambutan kemerdekaan semalam.

Berita berkaitan:

  • Terjunan terganggu, wanita patah kaki [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 1:17 PM