UME ketika melakukan terjun udara di Taiping, Perak. FOTO Ihsan pembaca.
UME ketika melakukan terjun udara di Taiping, Perak. FOTO Ihsan pembaca.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Takut untuk berada di tempat tinggi atau gayat tidak menghalang Ume Nur Ashikien M Azhar, 30, melakukan aktiviti terjun udara dengan ketinggian paras 10,000 kaki di Tekah Taiping Airstrip, Perak, kelmarin.

Dia yang berasal dari Tangkak, Johor, berkata, impiannya untuk membuat terjunan itu tercapai sekali gus melengkapkan misinya pada penghujung tahun 2022 lalu.

"Ini kali pertama saya buat terjun udara dan memang nak sangat. Sebelum ini saya selalu buat paragliding saja. Kebetulan ada kenalan beritahu berkenaan terjun udara ini di Taiping, Perak . Waktu itu mereka ada harga promosi, jadi saya tak lepaskan peluang untuk mendaftar.

"Memandangkan skydiving ni kena terjun, makin bertambah takut. Sudahlah saya memang gayat. Ketika naik kapal terbang, saya mula berdebar.

"Saya telan pil hilangkan mabuk sebab takut muntah. Apabila sudah berada di titik tertinggi, rasa takut hilang sebab rasa sejuk. Saya berasa nak cepat-cepat terjun," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, aktiviti yang dibuat itu dipantau dan dibantu jurulatih berpengalaman.

Malah menurutnya, dia turut merancang untuk buat terjunan dari paras yang lebih tinggi selepas ini.

"Ketika buat terjunan, saya bersama jurulatih berpusing 360 darjah. Saya tak lepaskan peluang untuk tengok. Sepanjang terjunan itu saya berasa kagum melihat panorama indah sekitar Taiping. Sangat hebat ciptaan Allah SWT. Ini pengalaman yang cukup manis buat saya.

"Sebelum terjun lagi jurulatih yakinkan saya agar jangan takut sebab dia cakap dirinya adalah jurulatih terbaik di dunia. Saya pegang kata-kata itu. Jadi, saya buat macam biasa saja sepanjang terjun sambil menikmati pemandangan dari udara.

"Insya-Allah, selepas ini kalau ada peluang lagi saya nak buat dari paras yang lebih tinggi. Malah, saya juga nak mencuba buat terjunan secara solo. Kena ikut latihan dulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 7:00 PM